Mohamad Tampil Beberapa Faktor Kenapa PRU Perlu Diadakan Dalam Masa Terdekat

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan tampil memberikan beberapa faktor mengapa perlu diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

Kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, memenangi pilihan raya dan menguasai kerajaan bermakna merancang agar PRU diadakan pada masa dan waktu yang tepat.

Menurutnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk penting bahawa masanya sekarang dan bukan tahun hadapan.

“Sebabnya saya perincikan begini. Pertama, kerana pihak lawan ternyata sangat lemah. PKR kalah semua kerusi yang mereka tandingi di Melaka, Sarawak dan memenangi hanya satu kerusi Johor. DAP kehilangan banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir semua kerusi ditandingi di Sarawak. Di Johor pula, mereka hanya memenangi 10 kerusi dari 14.

“Perikatan Nasional (PN) pula dalam semua PRN lepas hanya bergantung kepada jentera PAS dan tidak menjadi pesaing yang handal lagi digeruni. Di Johor, PN telah kita jinakkan dengan hanya menang tiga kerusi.

“Manfaatkan segala peluang dan ruang atas kelemahan musuh kita ini. Menyerang waktu mereka lemah. ‘Strike while your enemy is weak, strike while the iron is hot’,” tegasnya.

Mohamad berkata demikian di dalam ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini malam ini.

Begitu juga katanya, sekarang ini persefahaman politik pembangkang adalah sangat bercelaru.

“Semua berlumba dengan cita-cita sendiri. Bagai enau dalam belukar, melepas pucuk masing-masing. Semua ghairah bertanding tanpa mengukur keupayaan sebenar. Ada yang tidak punya ‘struktur’. Hanya berpaut pada seorang dua personaliti, itu pun tanpa pengalaman. Tanpa kesatuan, mereka tidak boleh mengalahkan BN.

“Ketidaksepaduan pembangkang adalah ‘strategik kepada UMNO’. Inilah masanya kita pantas memintas saat mereka berpecah dan bertelagah,” katanya.

Tambahnya lagi, pilihan raya semasa pandemik menjadikannya ia berjaya dilaksanakan dengan teratur.

“Maka tiada alasan untuk kita melengahkan PRU ke 15. Malah menganjurkan PRU sewaktu pandemik adalah pilihan terbaik. Semuanya dilaksanakan dengan disiplin dan ketertiban seperti di Melaka, Sarawak dan Johor,” ujarnya.

Jelas Mohamad lagi, prestasi UMNO sebagai kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran.

“Dengan memuncaknya krisis Ukraine dan Rusia, tergugatnya ‘Europe security order’, ketidakpastian tentang kemungkinan adanya ancaman pandemik baru, ketegangan hubungan USA dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan ‘global supply chain’, prestasi ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada semua kegawatan dampak semua ini.

“Harga barang juga semakin naik mendadak, tidak terkawal dan tidak masuk akal. Kemarahan rakyat membuak-buak. Semakin lama dibiarkan, semakin ramai akan mengkambinghitamkan UMNO dan BN.

“Semua ini akan menjadi peluru politik Pakatan Harapan (PH) untuk menembak kerajaan dan UMNO akan menerima tempiasnya,” ujarnya.

Kerana itu katanya lagi, adalah sangat berisiko untuk melengahkan PRU dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu akibat faktor dalaman dan antarabangsa.

Justeru katanya, BN mesti mengembalikan semula mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang sah dan tidak boleh bergantung kepada perjanjian persefahaman dengan pembangkang untuk mengurus kestabilan negara. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.