Ahmad Zahid Bersyukur UMNO Masih Gah Melayari Perjuangan Agama, Bangsa Dan Tanah Air

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan setinggi-tinggi rasa syukur Alhamdulillah kehadrat Allah kerana sehingga ke saat ini UMNO masih gah melayari perjuangan agama, bangsa dan tanah air walau apa musuh naratifkan selepas 9 Mei 2018.

Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, pimpinan, ahli serta penyokong nan setia terus bersama mengharungi ranjau dan onak duri tanpa gentar, tanpa kesal walau begitu ganas mereka diasak dan digasak.

“Kerana kita yakin dan kita pasti UMNO-lah sebuah perjuangan yang benar serta tulus murni dalam kisah menjulang kemakmuran lalu wajib dipertahankan.

“Sesungguhnya perjalanan UMNO masih panjang dan sejarahnya tidak akan sesekali terpadam walau apa sahaja dugaan yang telah dan akan terpaksa ditempuhi.

“Biar berdentum guruh di langit, tidak hancur bumi sebelum kiamat, biar pelbagai cubaan mendatang, tetap perjuangan UMNO diteruskan,” katanya dalam ucapan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan dan pemerhati Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Facebooknya.

Seterusnya, Ahmad Zahid juga menyeru semua pendukung parti menyaksikan Perhimpunan Agung UMNO 2021 ini sebagai medan yang selanjutnya untuk memperkasakan lagi kemuafakatan dan memacu lebih kekuatan.

“Dan manfaatkanlah serta terjemahkanlah ia tentang UMNO sebuah perikatan, pakatan dan pejuang yang sebenar agar diperlihatkan kepada seluruh nusa bangsa.

“Biar bergema ke seluruh tanah air wadah semangat dan aspirasi UMNO sentiasa muda dan keterhadapan.

“Kepada Allah S.W.T kita memohon petunjuk dan pedoman,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit