PAU 2021 Bakal Buka Lembaran Baharu, Kembali Raih Sokongan Rakyat

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang bakal membuka tirainya pada esok semestinya dinanti oleh semua pihak khususnya ahli parti bagi mendengar amanat yang akan disampaikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagi Naib Ketua UMNO Wanita Bahagian Rembau, Asiah Kasdi beliau mengharapkan PAU kali ini membuka lembaran baharu buat parti.

Katanya menambah lagi perkara itu apabila dapat dilihat ketika ini penolakan rakyat terhadap parti pembangkang sebagaimana ditunjukkan pada siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

“Rakyat telah menerima UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali setelah kita melihat keputusan Pilihan Raya Negeri.

“Nampak dengan jelas rakyat tidak mahu lagi parti lain… memerintah selama tiga tahun sehingga berlaku pertukaran Perdana Menteri beberapa kali,” katanya.

Perkara sama dinyatakan Ketua Cawangan Taman Seri Pagi Parut, Jusree Hashim yang berharap kesatuan kukuh dapat dicapai pada PAU kali ini.

“Kita susun dan perkasa parti dengan strategi untuk memberi peluang khususnya kepada anak muda terus berjuang untuk UMNO,” ujarnya.

PAU yang berlangsung empat hari akan dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka esok.

Terdahulu pada Disember lepas, kepimpinan UMNO membuat keputusan untuk menangguhkan PAU 2021 yang sepatutnya berlangsung pada 13 hingga 15 Jan lepas akibat musibah banjir. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit