Kertas Putih Kesihatan Dibentang November Ini – Khairy

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Satu kertas putih kesihatan ke arah reformasi sistem kesihatan negara dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada November ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Kertas putih itu bertujuan mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh agar perkhidmatan kesihatan lebih saksama, berkualiti tinggi, mudah diakses dengan kos berpatutan dan mampan untuk jangka masa panjang, kata Khairy pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

“Kertas putih kesihatan adalah satu ikhtiar Kementerian Kesihatan untuk membuka hujah dan perbincangan bersama rakyat serta pihak berkepentingan mengenai sistem kesihatan negara yang memerlukan penambahbaikan yang mampan. Ia merupakan dokumen rasmi kerajaan yang akan menggariskan status semasa, jurang dan kekangan yang dihadapi.

“Dokumen ini juga akan mengemukakan cadangan penyelesaian secara berfasa dari segi reformasi penyampaian perkhidmatan, pembiayaan, tadbir urus serta organisasi merangkumi tempoh 15 tahun,” katanya semasa menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera).

Khairy berkata penyediaan kertas putih kesihatan itu akan mengambil kira hasil serta syor pelbagai kajian sistem kesihatan yang telah dilaksanakan dan pandangan pihak berkepentingan termasuk rakyat melalui sesi libat urus.

Menteri itu berkata untuk memastikan cadangan kertas putih itu kalis masa depan dan mendapat persetujuan bipartisan, ia juga perlu dibawa ke peringkat Dewan Negara serta cadangan kertas putih itu perlu dilaporkan kepada Jemaah Menteri dan Jawatankuasa Pilihan Khas.

“Sebab itu saya putuskan proses ini mesti dibawa ke Dewan Negara dan Parlimen mendapat keputusan konsensus bipartisan. Hanya persetujuan bipartisan sahaja memastikan ini (kertas putih) akan menjadi satu dokumen, hala tuju, ikhtiar dan aspirasi bersama, tak kira kerajaan mana (memerintah) dan menteri siapa yang duduk di kerusi ini.

“Saya cadangkan ia dilaporkan bukan saja kepada Jemaah Menteri, juga untuk Jawatankuasa Pilihan Khas agar milestone atau sasaran dicapai mengikut perancangan yang dikecapi semasa konsensus kertas putih ini disediakan,” katanya.

Beliau berkata cadangan kertas putih itu mengambil kira aspek akses kesihatan di peringkat kebangsaan, tidak kira negeri dan wilayah. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit