Kejayaan PRN Johor Bukti UMNO/BN Masih Relevan Di Hati Rakyat – Bung

ULU TIRAM, 13 Mac – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan BN/UMNO masih relevan di hati rakyat.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kemenangan ini memberikan semangat untuk BN terus melangkah menghadapi Pilihan Raya Umum PRU ke-15 (PRU-15).

Katanya, rakyat Johor telah pun membuat keputusan jelas siapa yang mereka pilih untuk mentadbir negeri itu melalui sistem demokrasi itu semalam yang keputusannya memihak kepada BN.

Beliau berkata sama ada ia kemenangan kecil atau besar tidak penting kerana yang penting kehendak rakyat melalui kertas undi sudah diterjamahkan.

“Kemenangan BN memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan bukan sahaja mencerminkan kehendak rakyat Johor tapi bukti jelas BN/UMNO masih relevan di hati rakyat,” katanya ketika diminta mengulas kemenangan BN dalam PRN kali.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan adalah untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.

“Hasilnya mandat baharu sudah diberikan yang perlu dihormati dan tidak mengulangi perangai lama lompat sana dan lompat sini mengkhianati mandat rakyat.

“Mandat baharu yang diberikan oleh rakyat ini perlu disusuli dengan tindakan berkerja untuk rakyat dan masa ini BN perlu membuktikan janjikan dilontarkan dalam manifesto perlu dilaksanakan,” katanya lagi.

Mengulas kemenangan DUN angkat yang dijaga oleh UMNO Sabah dalam PRN kali ini Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata beliau bersyukur kerana dua DUN iaitu Tiram dan Permas dapat ditawan dari parti lawan yang sebelum ini diwakili PKR.

“Walaupun kita terlepas dua DUN Johor Jaya dan Puteri Wangsa yang sudah kita jangka awal kerana faktor majoriti pengundi kebanyakan cina namun kejayaan menyumbang dua kerusi sudah cukup bermakna,” katanya.

Bung turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jentera BN dari Sabah dan jentera BN tempatan yang bertungkus lumus selama dua minggu bagi membantu calon-calon BN di kawasan tersebut. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.