Johor Mengundi Hari Ini, 1,021 Pusat Mengundi Dibuka Mulai 8 Pagi

JOHOR BAHRU, 12 Mac – Hari ini rakyat Johor mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 bagi memilih kerajaan negeri baharu, menyaksikan pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun merasai pengalaman mengundi buat pertama kalinya.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi bersedia membuka pintu bermula 8 pagi, bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar yang layak mengundi, menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebanyak 36,729 kertas undi pos telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) manakala kira-kira 87 peratus atau 18,625 pengundi yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan menjalankan tanggungjawab mengundi awal, pada Selasa (8 Mac) lepas.

Bagi proses pengundian hari ini, pusat mengundi yang mempunyai satu atau dua saluran akan ditutup lebih awal seperti yang diwartakan iaitu Balai Raya Pulau Besar di Mersing ditutup pada 11 pagi, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil, Mersing pada 1 tengah hari.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula akan ditutup pada 2 petang, manakala 41 pusat mengundi ditutup pada 4 petang. Pusat-pusat mengundi lain akan ditutup pada 6 petang.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia merangkumi parti Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Pakatan Harapan bersama parti komponennya PKR yang bertanding atas logo sendiri serta rakan strategik gabungan itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Warisan (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dua kerusi DUN menyaksikan pertandingan tujuh penjuru; empat kerusi DUN melibatkan enam penjuru; lapan kerusi DUN melibatkan lima penjuru dan 35 kerusi (empat penjuru).

Antara pemimpin yang dijangka menjadi tumpuan ialah bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad yang akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja, Pekan Nanas di Pontian, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar di Muar, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Sekolah Agama Taman Sri Lambak, Kluang dan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di SK Taman Sutera di sini.

PRN Johor hari ini, adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat, melibatkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

Kebenaran untuk anak muda mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.

Semasa proses pengundian PRN Johor berlangsung, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS) perlu memohon pegawai kesihatan daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca pada sebelah pagi cerah di seluruh Johor dengan suhu sepanjang hari pengundian antara 23 hingga 33 darjah Celsius.

Ribut petir pula diramal berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.