Sokongan Rakyat Pada BN Berbeza Berbanding PRU ke-14 – Mohd Kamal
KULAI, 11 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kulai, Mohd Kamal Ulum Morsin berpandangan momentum sokongan pengundi di Johor khususnya di kawasan ini adalah berbeza berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) yang lalu.
Katanya, keadaan itu dapat dilihat apabila sepanjang kempen ini reaksi yang ditunjukkan oleh pengundi di sini adalah pada tahap terbaik.
“Kalau kita lihat suasana sekarang telah hampir dua minggu berkempen nampak sokongan ataupun penerimaan lebih baik jika kita hendak bandingkan dengan PRU yang lepas.
“Saya rasa optimis kita dapat menang di DUN (Dewan Undangan Negeri) tumpuan iaitu Bukit Permai serta di Bukit Batu dan Senai kita sedang bekerja keras untuk mendekati seberapa ramai pengundi,” ujar beliau.
Mohd Kamal juga berharap rakyat termasuk pengundi baharu dapat berfikiran rasional dalam menunaikan kewajipan mengundi pada esok.
Jelas beliau lagi, kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 perlu dijadikan sempadan kerana ianya merupakan suatu titik hitam buat rakyat kerana impaknya memberikan kesan sehingga ke hari ini.
“Harapan kita peratusan keluar mengundi terutama dari kalangan orang Melayu di ketiga-tiga DUN ini dapat keluar beramai-ramai menunai tanggungjawab masing-masing dengan situasi sekarang termasuk 22 bulan yang lepas.
“Sekurang-kurangnya dapat menawan DUN Bukit Permai dan mungkin keajaiban boleh berlaku dia kedua DUN lagi atau momentum sokongan penerimaan pengundi ke atas BN.
“Parlimen Kulai ini ada lebih kurang 41 peratus pengundi muda dan baru mendaftar jadi saya menyeru keluar ramai-ramai mengundi pastikan pilihan itu tepat tidak boleh nak cuba-cuba lagi yang penting pilih memperjuangkan hak rakyat dan pilihlah BN,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Sa’adah Latib