Ikhtiar BN Realistik Tidak Retorik Seperti Parti Lain – Hairi
JOHOR BAHRU, 11 Mac – Calon untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah menyifatkan Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor yang dibentangkan baru-baru ini adalah realistik dan bersesuaian dengan keadaan semasa.
Katanya, perkara itu berbeza seperti yang dilakukan oleh parti lain yang sudah diketahui rakyat sebagai gagal dalam melaksanakan manifesto yang dibentangkan mereka suatu ketika dahulu meskipun ketika menjadi kerajaan.
“Pendekatan yang dilakukan oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad ianya satu ikhtiar untuk rakyat di negeri ini.
“Berbeza kita lihat manifesto yang dibentangkan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) oleh pihak pembangkang hanya satu retorik kepada rakyat dan janji-janji yang mereka lemparkan tidak ditunaikan sehingga hari ini.
“Jadi saya melihat pendekatan oleh BN di bawah kepimpinan Hasni ianya lebih terbuka dan sesuai bagi masyarakat menilai sendiri yang mana baik atau tidak,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hairi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri berkata menempuhi kempen yang sudah memasuki minggu kedua ini beliau mengambil pendekatan mendekati pengundi melalui kempen pintu ke pintu rumah.
Jelasnya lagi, beliau juga melihat momentum sokongan rakyat pada BN juga adalah pada tahap terbaik dan percaya pengundi akan memberikan mandat kepada parti ini untuk mentadbir negeri.
“Sudah dua tiga hari lalu saya menggunakan pendekatan pintu ke pintu untuk perkenalkan diri saya calon DUN Larkin untuk rakyat mengenali saya, mendengar serta melihat sendiri apa yang ba hendak bawa di kawasan ini.
“Sejak mula berkempen sehingga hari ini boleh dikatakan 50 hingga 70 peratus pergerakan yang dilakukan bertemu dengan rakyat di kedai, rumah jadi saya merasakan ini adalah mesra untuk pengundi memberikan mandat di Larkin ini.
“Saya akan terus mendekati rakyat… sehingga hari ini terlalu ramai yang hubungi saya untuk berjumpa di program-program mereka khususnya untuk pengundi mengenali saya dengan lebih dekat tak kira bangsa dan agama,” ujar beliau.
Untuk rekod pada PRN ini beliau berdepan tujuh penjuru di antara Dr Zamil Najwah Arbain (Pakatan Harapan); Zukifli Bujang (Perikatan Nasional); Mohamad Riadz Hashim (Pejuang); Rasid Abu Bakar (Muda) dan Norramadan Buan (Bebas).
Pilihan raya ini diadakan selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Seri Osman Sapian yang juga bekas menteri besar pada 21 Disember lalu ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib