Shahril Pesan Waspada Kempen Saat Akhir Parti Lawan, Cuba Alih Perhatian Pengundi
JOHOR BAHRU, 10 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan mengingatkan anggota jentera parti di pelbagai peringkat untuk terus waspada dengan kempen parti lawan yang masih berbaki dua hari lagi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Katanya,walaupun dari segi pengisian, keupayaan dan keyakinan Barisan Nasional (BN) mendahului namun ia tidak boleh dianggap selesa.
“Alhamdulillah setelah meninjau banyak kawasan dan menguruskan media sosial penerangan kita nampaknya momentum masih lagi berpihak kepada BN tapi tidaklah kita anggap selesa kerana kita tahu pada saat-saat terakhir ini parti-parti yang bertanding akan menggunakan apa-apa sahaja kaedah yang mereka rasakan boleh membantutkan kemaraan BN.
“Dalam dua hari terakhir ini kita tingkatkan lagi momentum kita lebih 100 peratus untuk pastikan hari Sabtu nanti tidak ada kejutan dan BN akan menang besar tanpa kita menagih ehsan dan kemenangan berpihak kepada kita, insya-Allah,” katanya kepada UMNO-Online ketika beliau meninjau Pusat Operasi BN, di sini hari ini.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia mengakui bahawa sejak hari pertama berkempen lagi, parti-parti lawan telah membuat pelbagai serangan terhadap BN.
“Kita dah tahu perkara ini dan kita telah mengingatkan pengundi-pengundi agar tidak terpengaruh kerana parti-parti lawan sendiri tidak ada tawaran-tawaran yang meyakinkan berbanding dengan Ikhtiar BN malah calon menteri besar (MB) pun mereka tak ada dan manifesto mereka pun kurang menyengat berbanding Ikhtiar BN, jadi apa lagi diharapkan.
“Dari hari pertama kempen lagi mereka konsisten cuba alih perhatian dengan perkara-perkara yang tidak ada kena mengena dengan PRN ini.
“Jadi kita di peringkat Penerangan telahpun bersedia dengan apa sahaja kemungkinan serangan-serangan akhir yang mereka akan buat dan kita harapkan momentum yang terbina selama tempoh kempen ini akan dapat diterjemahkan kepada kemenangan pada hari pengundian nanti,” katanya.
Terdahulu, DUN Johor diterajui BN dengan dengan hanya kelebihan satu kerusi iaitu 28 yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian. – UMNO Online