Manifesto Tak Dilaksana, Rakyat Luah Kesal Pilih PH – Pandak

ISKANDAR PUTERI, 10 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Pandak Ahmad percaya dengan kebangkitan yang ditunjukkan pengundi untuk memilih BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Katanya, ini kerana beliau menerima pelbagai keluhan daripada rakyat di kawasan ini yang kesal dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) khususnya kegagalan dalam menjaga kebajikan rakyat dan tidak melaksanakan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) yang lalu.

“Kebangkitan semula dan mereka lihat trek rekod dibandingkan dengan PH banyak janji yang tidak dapat ditunaikan.

“Ini hasil maklumat daripada saya turun walkabout menyantuni masyarakat ketika berkempen,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu, Pandak yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri juga berharap keseluruhan rakyat khususnya pengundi Johor pada kali ini juga perlu realistik dan mengambil pengajaran daripada pengalaman pilihan raya tersebut.

Ujar beliau ini ekoran tindakan PH tidak melaksanakan manifesto yang ditawarkan mereka meskipun berpeluang menjadi kerajaan dalam tempoh 22 bulan.

“Mereka kata hendak hapuskan tol sampai sekarang tol masih beroperasi, janji pada anak muda hendak hapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pun tidak dibuat sedangkan BN ini memberikan biasiswa kepada anak-anak muda yang melanjutkan pelajaran waima penjawat kerajaan pun.

“Orang Felda dahulu dijanjikan PH untuk hapuskan hutang peneroka tapi tidak juga dibuat malah harga sawit begitu rendah sekali tidak pernah zaman BN sawit harga RM100 setan tapi sekarang di bawah pentadbiran kita harga naik, mereka boleh menarik nafas lega… ini tidak berlaku zaman PH.

“Janji pada manifesto dahulu bukan kitab suci bagi PH dan ini merupakan kehendak populis dengan apa yang dijanjikan,” ujar beliau.

Pandak yang juga Setiausaha Kerja UMNO Negeri Johor pada PRN ini berdepan lima penjuru termasuk daripada penyandang Dzulkelfy Ahmad (PH); Samsudin Ismail (Perikatan Nasional); Dr Zaini Abu Bakar (Pejuang) dan R. Arangkannal (PSM). – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.