Hanya BN Bawa Agenda Perpaduan… Ingatlah Penipuan, Fitnah, Janji Palsu Rosakkan Negara – Zahid
JOHOR BAHRU, 9 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap seluruh pengundi bukan Melayu bersama BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Ini kerana katanya, BN iaitu sebuah gabungan politik ditunjangi parti komponen yang mewakili pelbagai kaum dan agama UMNO, MCA dan MIC untuk Johor.
“Yakinilah BN kerana ia satu-satunya organisasi politik yang terbukti mampu membawa agenda perpaduan. Bukankah berpuluh tahun kita rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama hidup penuh harmoni dan makmur.
“Ingatilah apa terjadi kepada perpaduan itu selepas kerajaan BN ditumbangkan dengan fitnah, penipuan dan janji palsu,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.
Ujarnya yang juga Presiden UMNO, kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) telah merosakkan perpaduan dengan dasar-dasarnya yang meresahkan orang Melayu.
“Cuba mengubah sejarah negara yang selama ini menjadi pegangan kesatuan serta kestabilan hidup seluruh rakyat Malaysia.
“Mereka merudumkan ekonomi negara sehingga menyebabkan banyak sektor perniagaan merosot dan terjejas, tetapi kroni-kroni perniagaan mereka dilimpahkan dengan nikmat kekayaan yang tidak bertepi.
“Kerajaan 17 bulan PN (Perikatan Nasional) pula terbukti gagal menguruskan pandemik dengan jujur dan saksama, sebaliknya mengambil kesempatan daripada itu untuk memperkukuh kedudukan politik, sehingga sanggup melaksanakan dasar-dasar yang banyak mengorbankan sumber rezeki rakyat.”
Terang Zahid, nasib golongan pekerja dan peniaga di Malaysia terjejas teruk tanpa mengira mereka Melayu, India mahupun Cina.
“Ingatilah kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan yang pernah kita bersama nikmati suatu ketika dulu.
“Hanya BN parti politik yang terbukti mampu merealisasikan semua itu, maka ayuhlah kita berpegang kepada fakta itu.
“BN mampu melaksanakannya kerana parti ini tidak pernah tentang mana-mana kumpulan atau individu, tetapi sebuah organisasi politik ‘as a whole’ yang dari dulu berfungsi sebagai ‘a single unit’ untuk rakyat dan negara,” katanya lagi.
Dilaporkan kempen PRN Johor yang bermula 26 Feb lalu hanya berbaki tiga hari sahaja lagi menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Untuk rekod, pengundi PRN Johor adalah seramai 2,597,742 orang yang terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa; 10,955 anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan termasuk Polis Pasukan Gerakan Am (PGA); dan 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara. – UMNO Online