Undi Awal: Semoga Buat Pilihan Tepat, Demi Masa Depan Johor
JOHOR BAHRU, 8 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan mereka yang akan mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Semoga tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan membuat keputusan yang tepat dan terbaik demi masa depan negeri Johor serta seluruh rakyatnya.
“Barisan Nasional (BN) telah pun melakukan apa yang harus kami lakukan demi kestabilan, kemakmuran, kemajuan dikembalikan di Johor,” katanya dalam satu catatan di Facebook.
Jelas Pengerusi BN itu, mandat diserahkan semula kepada rakyat untuk membuat penentuan secara demokratik walau ia bermaksud BN terpaksa berdepan dengan pilihan raya.
“Kini masa depan negeri Johor terletak di tangan anda semua sama ada kestabilan dan kemakmuran yang telah dikecapi di Melaka bakal diterjemah di Johor pada 12 Mac.
“Kami faham lawan BN saban hari tanpa henti melemparkan pelbagai dakyah terhadap BN serta pimpinannya untuk menghasut pemikiran anda.
“Namun kita yakin para pegawai dan anggota PDRM, ATM serta pasangan mereka seperti juga orang awam Johor telah mengerti antara yang benar atau batil,” ujarnya.
Pesannya juga, ingatilah tentang BN sebuah gabungan parti politik yang terbukti berjaya mentadbir negara dan negeri-negeri di Malaysia.
“Rakyat merindu kemakmuran dan kesejahteraan masa lalu dan kini kuasa berada di tangan anda untuk membantu merealisasikan impian mereka.
“Dan sentiasalah menjaga keselamatan diri ketika mengundi. Semoga Allah S.W.T memberkati segala usaha kita bersama. Insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE