Lagi Pimpinan Bersatu Umum Keluar Parti, Kali Ini Di Tenggara
KOTA TINGGI, 8 Mac – Timbalan Pengerusi Tetap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tenggara bersama 10 ahli yang lain di Kampung Batu Ampat, di sini mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO selepas mendakwa parti tersebut hanya pentingkan kroni berbanding rakyat.
Salleh Mohd. Yusof yang juga ketua kampung tersebut mendakwa sepanjang lebih tiga tahun menjadi pemimpin setempat, tiada keistimewaan yang diperoleh terutama bantuan kepada orang kampung.
Katanya, beliau juga menyatakan akan membawa lebih ramai keluar daripada parti itu dan memujuk anak-anak dan rakan-rakan lain untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Saya dapati tiga tahun di bawah Bersatu, tidak ada satu pun keistimewaan saya dapat, sebagai satu-satunya ketua kampung dari Bersatu, sepatutnya saya dijaga, saya dibelai supaya kesetiaan saya pada Bersatu, tetapi, ia hanya harapan yang tidak kesampaian.
“Setiap kali mohon peruntukan untuk aktiviti tidak pernah berjawab. Sampai satu ketika, saya tebalkan muka minta pada Ketua UMNO Bahagian Tenggara Datuk Seri Dr. Adham Baba untuk jalankan aktiviti kampung.
“Sampai begitu sekali kampung kami tidak dijaga. Oleh itu, saya tekad untuk tinggalkan Bersatu yang pada saya hanya mementingkan tenggorok sendiri dan menjaga orang sekeliling, kroni sahaja,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini
Turut hadir, Dr. Adham yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Hahasrin Hashim.
Sementara itu, Adham berkata, beliau tidak terperanjat sekiranya ada lebih ramai mereka daripada parti lain keluar dan menyokong BN kerana gabungan itu sudah buktikan bahawa mereka dapat laksanakan tanggungjawab dan kebajikan isu-isu yang rakyat diutarakan.
“Mereka yang sokong Pakatan Harapan (PH), PKR, Bersatu, Amanah, DAP telah rasa kesan derita kerana kehilangan banyak peluang. Oleh itu keyakinan tinggi ke atas BN membawa mereka untuk sama-sama dalam agenda besar negeri serta negara. Kita alu-alukan kehadiran lebih ramai yang mahu bangkit bersama BN,” katanya.