Jangan Lupa Apa Berlaku Selepas PRU-14… Mereka Berkuasa Bukan Untuk Bantu Rakyat
JOHOR BAHRU, 6 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Razali Ibrahim mengingatkan rakyat untuk tidak lupa apa yang berlaku dalam negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 apabila Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PPBM, PKR, Dap dan Pan membentuk kerajaan dan mengurus tadbir.
Katanya, selepas PRU itu, tindakan mereka yang pertama bukanlah dilaksanakan untuk kepentingan rakyat tetapi adalah sebaliknya.
“Kalau semua boleh ingat peralihan kuasa sebuah kerajaan yang tak pernah tumbang iaitu Barisan Nasional (BN) beralih dengan baik, tapi bila mereka menang, banyak perkara yang mereka lakukan bukan demi rakyat sebaliknya bersifat kepentingan diri.
“Mereka dapat peluang banyak perkara utama tapi yang dilakukan itu bukan untuk rakyat misalnya mengganti Ketua Setiausaha Negara, mengganti Ketua Polis Negara, menukar Peguam Negara, menukar ketua SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang dikata sebelum ini tak boleh dilantik dari kalangan orang politik tapi mereka sendiri lakukan selain heret beberapa nama untuk tekanan politik dengan dibawa ke mahkamah.
“Berapa ramai yang diberikan tekanan ini tapi kemudian tak ada salah apa-apa pula sebab mereka dah lompat parti menyokong mereka. Ini semua cerita-cerita yang tak menguntungkan rakyat dan negara.”
Tegasnya lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar, sambutan kemerdekaan pertama selepas BN tewas pada tahun 2018 amat mengguris hati rakyat.
“Jangan lupa bagaimana perkara mengguris hati apabila selepas BN kalah tahun 2018, sambutan kemerdekaan dibuat dengan komunis berbaris sedangkan kita bukan negara komunis tapi kita ini negara demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan.
“Abu Chin Peng menjadi isu besar, nak buat tugu sedangkan itu tak bawa kita ke mana-mana. Siapapun… malah saya tak mahu tentera-tentera berpakaian komunis berbaris untuk kemerdekaan sedangkan masa bila mereka ini berjuang untuk kemerdekaan negara kita?”
Ujarnya, rakyat mempunyai kuasa dan mandat malah rakyat ada pilihan sama ada meletakkan noktah atas cerita-cerita yang sama setiap kali pilihan raya atau terus fokus kepada apa yang nak dibuat untuk masa depan.
“Ikhtiar BN yang ditawarkan kepada rakyat adalah perkara yang kita nak lakukan. Kalaulah BN menang PRU lalu, projek-projek yang penting kepada orang Johor, kepada rakyat tentunya akan diteruskan, barangkali HSR (kereta api berkelajuan tinggi) boleh diteruskan dan berjaya di Johor.
“Kita juga tak akan hentikan ribuan pekerja kontrak, ketua-ketua kampung boleh terus jaga kesejahteraan kampung, klinik 1Malaysia mungkin terus beroperasi malah ketika itu kita dah ada satu rancangan jangka masa besar iaitu merangka TN50.
“Inilah perkara yang perlu kita betulkan dan lakukan, kita tak janji benda pelik-pelik dan cakap perkata yang kita tak boleh buat kerana rakyat akan tuntut,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi segmen FB Live UMNO Online yang disiarkan malam tadi dengan tajuk ‘Perjuangan Seribu Liku’ dengan moderator Datuk Dr Azizan Mohd Noor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor, manakala pengundian awal pada 8 Mac.
Terdahulu, DUN Johor diterajui BN dengan dengan hanya kelebihan satu kerusi iaitu 28 yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – UMNO Online