PRN Lembaran Baharu, Ombak Politik PRU-14 Diharap Tidak Berulang Kembali

KULAI, 5 Mac – Rakyat di Johor mengharapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini bakal membawa lembaran baharu kepada negeri ini yang sudah melalui pelbagai ombak politik sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) yang lalu.

Bagi, Norliah Isnin, 43 tahun beliau mengharapkan kerajaan baharu yang bakal dibentuk kelak dapat menambah peluang pekerjaan terutama kepada golongan belia untuk menjamin masa depan terbaik buat golongan ini.

“Peluang pekerjaan kepada anak muda perlu ditambah kerana jika tidak kita ibu bapa terutama suri rumah terbeban dengan pelbagai masalah yang penting PRN kali ini memberikan kestabilan demi masa hadapan.

“Kami juga bimbang kerana sebab sekarang ini banyak harga naik jadi harap ada bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

“Kepada para pengundi buatlah pilihan yang bijak kerana dengan satu undi yang kita pangkah akan memberi harapan yang baru kepada negeri kita,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu, harapan sama turut dilontar oleh Abu Bakar Abdullah, 60 tahun yang berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan lebih stabil bagi mengelakkan berlaku kembali pergolakan politik seperti yang terjadi sebelum ini.

Jelas Abu lagi berdasarkan pemerhatian, beliau melihat bahawa generasi muda juga sudah terdedah dengan perkembangan politik serta kepimpinan.

“Sebelum ini kami sudah merasai kesengsaraan kerana agak payah kami mengharungi kehidupan seharian dari segi perniagaan dan perkerjaan

“Masyarakat sekarang begitu ‘alert’ dan percaya dengan kepimpinan BN walaupun daripada dasarnya yang kita dapat lihat calon baharu dan yang berpengalaman.

“Tinjauan yang saya buat juga mendapati begitu ketara golongan muda yang minat, kagum dan ingin tahu kepimpinan yang sedia ada,” ujar beliau.

Pendapat sama diluahkan oleh peniaga, Rusidi Hashim 47 tahun yang percaya bahawa gabungan calon baharu dan berpengalaman berupaya membawa negeri ini kembali kepada landasan kecemerlangan.

“Kami ini memang hendakkan perubahan calon ini alhamdulillah ada yang baru dan lama malah mereka yang dicalonkan ini sememangnya mengikut kehendak rakyat.

“Memang kami mahukan BN memperoleh kemenangan yang besar bagi negeri Johor kerana negeri ini adalah kubu kuat parti ini.

“Saya juga berharap golongan muda yang pertama kali mengundi fikir dahulu dengan bijak sebelum membuat pilihan supaya peristiwa lepas yang tidak diingini itu tidak berulang dua kali,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.