HSR, RTS, RAPID Pengerang Beri Limpahan Ekonomi Cukup Besar Buat Rakyat – Abdul Rahman

JOHOR BAHRU, 4 Mac – Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, Barisan Nasional (BN) menawarkan Ikhtiar BN Johor dengan menampilkan lima teras merangkumi kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk orang muda, membudayakan pentadbiran berintegriti dan melaksanakan reformasi politik.

Menyentuh mengenai kemajuan ekonomi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berpandangan telah disaksikan segala kemajuan, pembangunan dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat Johor adalah hasil tangan Barisan Nasional (BN).

Ujar bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Unit Perancang Ekonomi (EPU) itu, terdapat tiga projek yang memberi impak besar limpahan ekonomi kepada rakyat di Johor khususnya iaitu keretapi api berkelajuan tinggi (HSR), Rapid Transit System (RTS) dan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang di zaman BN mentadbir.

“Apa yang kita nampak di Johor hari ini seluruhnya adalah hasil tangan BN. Saya sendiri sebagai Menteri EPU terlibat dalam tiga projek besar di negeri Johor ini. Yang pertama HSR. Pada waktu itu kita pastikan negeri Johor sekurang-kurang tiga stesen mesti berada di negeri Johor iaitu di Iskandar Puteri, Muar dan Batu Pahat (depoh di Pontian).

“Bukan sahaja buat laluan tetapi setiap stesen kita ada Transit Oriented Development Plan (TOD – perancangan berasaskan transit). Setiap transit itu kita sudah kenal pasti industri apa yang akan dibangunkan di kawasan tersebut sebab stesen ini akan jadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan tersebut. Laluan ini akan menjadi pemangkin yang cukup besar untuk negeri,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian di dalam segmen Wawancara PRN Johor mengulas topik Implikasi Kestabilan Buat Bangsa Johor yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online dari studio mini di sini malam tadi.

Begitu juga ujar Abdul Rahman berhubung projek Rapid Transit System (RTS) satu sistem jaringan pengangkutan berkapasiti tinggi, pantas dan efisen yang menghubungkan Johor Bahru di Bukit Chagar dan Woodlands, Singapura.

“RTS ini adalah pembangunan projek besar yang dibawa oleh BN untuk memanjangkan sistem MRT Singapura di mana kita akan wujudkan satu stesen MRT Singapura di Johor Bahru dan kalau masuk ke Singapura tidak lagi melalui Tambak Johor.

“Bayangkan antara perkara yang dicadangkan oleh Menteri Besar Johor (Datuk Hasni Mohammad) dalam Ikhtiar BN Johor ini ialah untuk menarik balik rakyat Malaysia dan juga ekspatriat yang bekerja di Singapura dan tinggal di Johor.

“Dengan wujudnya RTS ini adanya laluan yang cukup mesra dan selesa dan pantas. Dan ia akan disambung dengan LRT dan Bus Rapid Transit ke kawasan Johor Bahru. LRT boleh diwujudkan untuk memastikan ‘connectivity’,” katanya.

Manakala yang ketiga tambahnya lagi, pelaburan syarikat petroleum dari Arab Saudi, Saudi Aramco di Pengerang.

“Mereka telah melabur USD7 bilion atau RM31 bilion di RAPID, Pengerang. Sebenarnya RAPID ini hanyalah satu komponen kecil daripada keseluruhan kompleks integrasi petroleum Pengerang. Keseluruhan kompleks integrasi dijangkakan USD27 bilion.

“Dan percubaan BN ini cukup strategik. Tidak pernah terfikir di dalam fikiran kita bagaimana hendak berlawan dengan Singapura dalam industri minyak dan gas kerana mereka sudah lama, kukuh, pembangunan dan penyelidikan (RnD) jauh dan sebagainya.

“Akhirnya dengan kecekalan, perancangan dan strategi, kita dapat bangunkan Pengerang sebagai satu alternatif kepada industri minyak dan gas kepada Singapura,” katanya.

Jelasnya lagi, pada ketika itu Aramco mempunyai banyak pilihan negara untuk melabur tetapi tetap memilih Malaysia atas faktor kestabilan politik.

“Mereka boleh pergi ke Jakarta, India, Vietnam (diberitahu sendiri oleh wakil syarikat Aramco) tetapi mereka memilih Johor kerana antara lainnya kestabilan politik. Waktu itu 2016 kita memerintah pusat dan negeri.

“Syarikat Aramco melihat BN sebuah parti yang sudah lama kukuh dan berpandangan jauh. Ini yang diberitahu kepada saya secara peribadi. Sebab itu saya amat sedih bila berada di dalam kemelut politik ini macam-macam yang kita rancang terganggu buat sementara,” katanya yang menganggap Johor sebagai jantung dan pemangkin ekonomi negara.

Berhubung dengan PRN Johor, Abdul Rahman yang juga merupakan Ketua UMNO Tuaran menyeru rakyat Sabah yang bermastautin dan menjadi pengundi di Johor supaya memilih BN dan menolak parti Warisan yang ternyata gagal dalam mentadbir negeri Sabah. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit