Pihak Lawan Sukar Capai Kata Sepakat Siapa MB… Formula Sama PRU-14

JOHOR BAHRU, 2 Mac – Lawan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih belum dapat putuskan calon Menteri Besar mereka andai menang dalam PRN terbabit pada 12 Mac ini.

Demikian kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan hal tersebut.

Ujarnya yang juga Presiden UMNO, mereka beri alasan fokus ketika ini adalah kepada strategi untuk menang terlebih dahulu.

“Barangkali mereka gunakan formula sama seperti PRU-14 ‘Menang Dulu, Berebut Kemudian’. Formula sama yang menyebabkan PM Ke-7 lewat dapat membentuk Kabinet kerajaan 22 bulan,” katanya.

Dalam hal ini, Zahid berkata, orang Johor yang bijaksana pasti mengerti lawan BN sebenarnya sukar capai kata sepakat calon Menteri Besar yang sekaligus mengesahkan bahawa tiada kestabilan politik pada mereka untuk negeri Johor.

“Keadaan yang mengabsahkan mereka bertanding PRN Johor tanpa perhitungan masa depan rakyat negeri itu, sebaliknya mahu kembali berkuasa atau semata-mata untuk menyekat kebangkitan BN.

“Sangat ‘obvious’ ketidakstabilan mereka sehinggakan penggunan logo pun tidak sepakat.”

Justeru, soalnya, bagaimana pihak yang tidak stabil boleh menawarkan kestabilan andai diberi undi pada 12 Mac ini?

“BN bertanding PRN Johor dengan iltizam mengembalikan kestabilan dan kemajuan di Johor. Kita mempunyai hala tuju jelas bagaimana untuk mentadbir Johor sejurus diberi mandat atas pengalaman dan kemampuan.

“Sebenarnya rakyat Johor memang perlu berwaspada dengan lawan BN yang sejak azali kaya dengan formula.

“Semasa PRU-14 mereka kemukakan formula ‘PH Menang, Rakyat Senang’ dan ‘RM50 Penuh Satu Troli’. Begitu juga dengan formula ‘Hari Ini Menang Esok Harga Petrol RM1.50’ atau ‘PH Menang Mansuh PTPTN’.”

Tegas Zahid, tidak perlu diulas panjang lebar apa telah terjadi kepada formula-formula itu selepas mereka diberi kuasa.

“Rakyat termasuk di Johor lebih mengetahui kerana telah merasai akibat sebilangan kita tersalah undi.

“Kali ini orang Johor tidak boleh silap lagi. Bersama kita ‘restore’ kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan, kemajuan,” katanya lagi.

Dilaporkan, untuk PRN Johor BN mengekalkan penyandang iaitu Datuk Hasni Mohammad yang menjadi calon DUN Benut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.