Ikhtiar Johor Demi Kestabilan Masa Depan, Tidak Janjikan Bulan Bintang – Asyraf Wajdi
YONG PENG, 2 Mac – Barisan Nasional (BN) menjadi parti pertama membentangkan manifesto dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kepada rakyat atas nama ‘ikhtiar’.
Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, BN tidak menjanjikan bulan dan bintang sebaliknya akan berikhtiar untuk menaikkan dan melonjakkan ekonomi negeri Johor untuk kesejahteraan rakyat atas tema ‘Kestabilan Masa Depan’.
Menurutnya, manifesto baru yang dibentangkan oleh BN adalah iltizam sekiranya berjaya membentuk kerajaan pada 12 Mac nanti.
“Inilah ikhtiar-ikhtiar BN untuk memastikan kestabilan di negeri Johor dapat dicapai kerana kestabilan ini mampu mewujudkan kesejahteraan, memberikan kemakmuran dan keharmonian kepada rakyat.
“Saya amat yakin dengan iltizam di bawah kepimpinan BN dan mengisytiharkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad sekiranya BN berjaya menubuhkan kerajaan pada 12 Mac ini.
“Kita tidak ada pilihan lain melainkan kembali pada parti BN yang menjadi parti tunjang bagi berikan kestabilan demi masa depan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian di bangunan MCA Yong Peng malam tadi.
Turut hadir calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng, Ling Tian Soon; Ketua Pemuda BN Ayer Hitam Joni Muhamat Yahya; Ketua Pemuda MIC Suresh Anthony serta jentera-jentera Pemuda BN.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan UMNO Malaysia berharap politik di Johor akan sentiasa stabil dan pelabur akan terus melabur di negeri ini.
“Apabila politik stabil maka pelabur-pelabur akan datang melimpah ruah dan ekonomi akan berkembang, maka projek HSR, ECRL, ETS akan dapat diteruskan. Projek-projek pembangunan yang ada dalam manifesto BN, baik petani, nelayan, P-hailing, E-hailing, gig ekonomi dapat ditingkatkan lagi dan semua ini akan memberikan wang yang cukup untuk rakyat berbelanja.
“Bila rakyat ada wang untuk berbelanja, peniaga-peniaga dapat manfaat dan ekonomi terus berkembang dan Insya-Allah… negeri Johor akan kembali gemilang dan cemerlang sebagaimana satu ketika di mana BN memerintah Johor, tidak pernah ada di tangga kurang daripada nombor dua berbanding dari negeri-negeri seluruh Malaysia,” katanya lagi.
Dalam pada itu Asyraf turut menasihati jentera-jenteta BN agar pergi ke rumah-rumah dan jangan mengadakan kempen membenci.
“Yang penting jentera Pemuda BN harus memujuk pengundi, berikan fakta-fakta yang rasional, jangan gunakan kempen membenci, jangan gunakan kempen memfitnah seperti mereka. Jangan gunakan kempen yang menjanjikan bulan dan bintang seperti PH (Pakatan Harapan).
“Gunakan kempen yang konstruktif dan positif dan menawarkan apa yang disepakati oleh kepimpinan BN dalam manifesto Ikhtiar Johor. Insya-Allah dengan mempunyai kekuatan BN yang padu dan yakin apa yang hendak direalisasikan… apa yang diikhtiarkan demi rakyat dan yang penting kestabilan masa depan,” tegasnya.
Semalam BN telah melancarkan manifesto bertemakan Ikhtiar BN Johor sebagai persediaan menghadapi PRN Johor. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan