Dulu Ratib Pengundi Hantu… Sekarang Dah Tukar Kluster Mahkamah – Razali
MUAR, 1 Mac – Dulu kita dengar ‘pengundi hantu… pengundi hantu… sekarang ini kluster itu… kluster mahkamah… perompak’ lagi dan inilah sebenarnya mainan persepsi pihak lawan terhadap BN sejak dahulu, demikian tegas Ketua UMNO bahagian Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.
Menyifatkan pelbagai persepsi yang cuba dimomokkan oleh pihak lawan terhadap BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Razali yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya menegaskan pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu bukankah negara dijaja kononnya hampir bankrap dan sebagainya lagi.
“Mereka boleh mendapat sokongan dengan menyerang parti lawan, mewujudkan persepsi-persepsi tertentu yang kebanyakannya ‘recyle’ atau isu kitar semula. Kluster Mahkamah umpamanya.
“Kalau dulunya kita selalu dengar pengundi hantu, kita selalu dengar negara nak bankrap namun hari ini kita didendangkan pula dengan kluster mahkamah… ini perompak… ini perasuah… Saya pun tidak suka orang yang ambil rasuah ini.
“Waktu saya dalam kerajaan dahulu saya bertanggungjawab untuk menyelia perjalanan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) umpamanya. Takkanlah dalam ramai-ramai calon yang bertanding ini semuanya kaki rasuah atau pun gembira dengan perasuah. Kita pun tidak mahu tetapi itulah sentimen yang dibina seolah-olah parti mereka bersih segalanya,” katanya kepada UMNO-Online.
Kata beliau lagi amat malang apabila yang dicanang sebagai perasuah menyertai parti tertentu bukan sahaja diterima malah dianggap bersih.
“Kalau saya cerita benda ini ada yang tidak puas hati. Ramai yang mereka tuduh perasuah masuk parti dia bukan setakat diterima malah bersih… dibersihkan dan maknanya untuk menyucikan diri ini masuk parti dia. Orang jahat masuk parti dia terus bersih umpamanya.
“Pada saya persepsi-persepsi ini kitar semula dan saya harap tidak lakulah di kalangan pengundi. Saya boleh sebut nama satu persatu tapi tidak mahu sama level dengan merekalah,” ujarnya lagi.- UMNO Online
Oleh: Azman Abas