BN Tawar Lima Ikhtiar Utama, Usaha Berterusan Menjadikan Johor Negeri Makmur

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Barisan Nasional (BN) Johor menawarkan lima ikhtiar utama sebagai usaha berterusan bagi memakmurkan negeri itu, ujar Pengarah Pilihan Raya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ujar Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN, ikhtiar yang dihidangkan itu akan didokong pula oleh naratif politik baru yang matang lagi stabil.

“Kita menyediakan ikhtiar-ikhtiar ini berdasarkan prinsip utama iaitu Johor merupakan negeri yang paling penting kepada pembangunan ekonomi negara. Johor adalah enjin pemacu pertumbuhan negara Malaysia.

“Oleh itu BN Johor akan menawarkan lima ikhtiar utama yang bakal menyokong satu matlamat utama iaitu mahu menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang makmur, didokong pula oleh naratif politik baru yang matang lagi stabil.

“Sekiranya diberikan mandat BN Johor komited untuk merealisasikan ikhtiar-ikhtiar yang ada bagi kemakmuran di negeri ini,” katanya ketika melancarkan Ikhtiar BN Johor sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, di sini hari ini.

Justeru Mohamad menyeru semua rakyat memberi sokongan dan dokongan kepada BN Johor dan Pengerusinya bagi merealisasikan ikhtiar-ikhtiar yang digariskan.

“Maka berilah dokongan besar kepada BN Johor dan sokongan kepada Datuk Hasni Mohammad untuk mengetuai Johor ke arah kegemilangan dan kemakmuran bangsa Johor,” ujar Timbalan Presiden UMNO itu lagi.

Tambah Mohamad, lima ikhtiar tersebut akan diperincikan oleh Hasni yang juga penyandang Menteri Besar Johor.

Dalam majlis yang sama, Hasni berkata ikhtiar-ikhtiar tersebut mencangkupi Kemajuan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat serta ikhtiar khusus untuk Orang Muda Johor (OMJ).

Begitu juga jelasnya lagi, ikhtiar untuk membudayakan Pentadbiran Berintegriti dan ikhtiar untuk melaksanakan Reformasi Politik. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.