Di Mana UMNO/BN Kuat Di Situ Punca Ketidakstabilan… Kenyataan Mengarut! – Najib

JOHOR BAHRU, 28 Feb – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membidas pendapat seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang berkata punca ketidakstabilan politik adalah disebabkan UMNO dan BN kuat.

Tempelak Najib, ia disifatkan sebagai mengarut kerana contoh mutakhir di Melaka apabila BN memang lebih dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, pentadbiran kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kerajaan negeri itu berjalan dengan baik, lebih tumpu kepada pentadbiran, pembangunan, tiada masalah. Selama sembilan tahun saya menjadi Perdana Menteri tiada masalah. Kita punya kadar pertumbuhan ekonomi mungkin yang tertinggi di ASEAN pada masa itu, dan kita punya KLSE bursa saham hampir 1,900 mata bukan seperti sekarang 1,500.

“Maknanya kalau kita ada kerajaan sekarang yang kuat dan stabil kita boleh merancang dan orang (pelabur) ada kenyakinan. Orang tak naklah melabur, bila melabur, kerajaan bertukar ada ‘u-turn’ dari segi dasar,” katanya dalam segmen Wawancara PRN Johor membicarakan topik ‘Membetulkan Yang Silap’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online malam tadi.

Tambah Najib yang juga Perdana Menteri Keenam, ia juga dapat dilihat apabila Pakatan Harapan (PH) yang menubuhkan kerajaan pusat pada 2018 tidak menghormati dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh BN dan membatalkan kontrak dengan pelabur luar sewenang-wenangnya.

“Yang menjadi masalah punca hari ini bila kita kalah pada 2018, kerajaan PH tidak menghormati kontrak-kontrak dan dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan BN. Jika satu kerajaan tidak hormat pada dasar kerajaan yang lain, bila ganti kerajaan dia takkan hormat kontrak kerajaan yang sebelum ini.

“Pada mereka (pelabur) tidak kira kerajaan BN ker, PH PN, itu adalah kontrak kerajaan Malaysia. Jadi mesti dihormati baru ada keyakinan. Ini masalahnya mereka kemaruk kuasa, kuasa untuk balas dendam tapi bila dapat kuasa tak reti buat kerja. Bukan nak kuasa untuk buat yang lebih baik,” bidas Ahli Parlimen Pekan itu lagi.

Begitu juga ulasnya mengenai kerajaan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang gagal mengurus negara kerana membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak serta memanipulasi Darurat semata-mata untuk kekalkan kerusi Perdana Menteri.

Najib turut mempersoalkan bagaimana Muhyiddin seorang yang gagal mentadbir negara mahu menjadi penasihat ekonomi kepada negeri Johor.

Di dalam wawancaranya itu, Najib juga berkata ukuran sokongan yang diberikan kepada parti hendaklah diterjemahkan di dalam bentuk undi.

“Sokongan yang dikira hanya di dalam peti undi. Sebab itu saya sarankan kepada mereka bahawa mestilah menggunakan kesempatan ini dan sokongan yang kita lihat begitu luar biasa mestilah diterjemah dalam bentuk undi pada 12 Mac nanti,” katanya.

Berdasarkan tinjauannya yang sering mengadakan walkabout di beberapa kawasan sekitar negeri Johor, Najib berkata rakyat yang ditemuinya berharap BN akan kembali menubuhkan kerajaan negeri itu setelah merasai pengalaman berada di bawah kerajaan PH dan PN. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.