BN Tawar Kestabilan… PH, PN Politik Lapuk Masih Meratib ‘Najib… Zahid’ – Armand
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menegaskan bahawa pihak lawan iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti lawan yang lain masih berkempen cara politik lama berbanding dengan Barisan Nasional (BN) menawarkan kestabilan.
Katanya, dalam kepimpinan pihak lawan tidak ada seorang pun yang bercerita soal kemajuan atau pembangunan negeri Johor masih menggunakan taktik modus operandi yang lapuk menyerang BN.
“Tidak seorang pun bercerita kemajuan negeri Johor, tak cerita tentang ekonomi negeri Johor, pembangunan negeri Johor, mereka masih menggunakan taktik modus operandi yang lapuk menyerang BN, menyerang kepimpinan BN, masih lagi meratib Datuk Najib… Zahid Hamidi.
“Kita nak bagi tahu kepada rakyat BN telah bergerak maju ke hadapan, memikirkan kestabilan Negeri Johor, memikirkan bagaimana menawarkan kestabilan politik untuk negeri Johor.
“Jadi kalau politik lama seperti mereka digunakan, menyerang kepimpinan parti, tikam belakang… sedangkan BN tak main politik lama kerana kita dah bergerak maju ke hadapan,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), BN selami kelemahan, kaji apa yang perlu diperbaiki, lakukan penambahbaikan dan hari ini bergerak kepada arus yang berbeza iaitu semangat politik untuk mendengar suara hati rakyat.
“Hari ini kita akan lalui proses demokrasi yang menawarkan barisan pewaris kepimpinan di negeri Johor. Ini adalah parti yang benar-benar stabil. Berbeza dengan parti mereka yang tak habis-habis tikam belakang.”
Dalam masa yang sama, Armand Azha yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berkata PRN Johor menyaksikan tawaran 70 peratus calon-calon BN adalah muka baharu yang boleh mendapat sokongan padu dari rakyat.
“Calon-calon yang kita tawarkan adalah dari golongan muda dan golongan yang berpengalaman. Contoh calon dari BN, ada Wanita, Pemuda, Puteri hinggalah dari kepimpinan peringkat bahagian.
“Maka ini satu politik yang cukup unik apabila kita menawarkan 70 peratus muka baharu sedangkan sebelum ini mereka kata kalau BN bertanding BN tak akan berani letak calon baharu tapi BN dengar suara hati dan suara rakyat apabila calon-calon baharu diangkat.
“Malah kita dapat respon yang cukup baik dari akar umbi hinggakan gelombang biru telah bertiup cukup baik di Johor untuk kemenangan BN,” katanya.
Sehubungan itu, beliau melahirkan keyakinan bahawa pengundi telah membuat keputusan berdasarkan kepada calon-calaon yang ada.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh pengundian awal pada 8 Mac. – UMNO Online