Calon BN Mampu Bawa Kekuatan Parti, Kestabilan Demi Masa Depan – Hasni

JOHOR BAHRU, 24 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohamad yakin calon yang diumumkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri mampu membawa kekuatan kepada parti.

Menurut beliau pemilihan yang dibuat dengan gandingan muka lama dan muka baharu adalah yang terbaik dan ianya juga memaparkan peremajaan di dalam parti itu sendiri.

“Calon-calon yang diumumkan merupakan calon-calon yang boleh membawa satu kekuatan kepada parti dan ianya seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Presiden, iaitu  gandingan orang lama dan baharu.

“Jumlah muka baharu yang bertanding ini merupakan petunjuk jelas parti akan terus melaksanakan peremajaan,” katanya selelas majlis pengumuman calon-calon BN PRN Johor, di sini hari ini.

Terdahulu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan komponen yang lain bersama-sama di dalam majlis pengumuman berkenaan.

Hasni yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut seterusnya menambah parti mempunyai sasaran tertentu termasuklah dari sudut orang muda, wanita dan sebagainya.

“Kita ada sasaran… sebagai contoh calon wanita dan orang muda yang kita rasa ini penting untuk diketengahkan pada PRN ini,” ujarnya.

Berkaitan senarai calon MCA, beliau percaya ianya akan dapat dimuktamadkan sebelum hari penamaan pada 26 Feb ini.

Terdahulu dalam ucapannya beliau memaklumkan telah melalui proses yang sukar dan mencabar dalam menentukan calon.

“Sejak seminggu yang lalu amat sukar dan masa yang paling mencabar serta mencuba sedaya upaya. Saya bersyukur Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa berada di sisi saya untuk memberi semangat dan pandangan.

“Saya dapat melihat sukarnya semua pemimpin di semua peringkat untuk membuat satu keputusan yang amat penting bagi sebuah negeri dalam negara. Begitulah sukarnya satu keputusan dilaksana demi menentukan pemimpin.”

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Mac. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.