Putera UMNO Bawa Agenda Membina Generasi, Perkukuh Perjuangan
KUALA LUMPUR, 20 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan anak muda perlu diberi ruang dan peluang yang seluasnya untuk bersama dalam membina generasi negara ini.
Katanya, ini termasuk medium Putera UMNO yang merupakan cabang daripada Pemuda menjadi wahana pengkaderan anak muda melalui agenda #MembinaGenerasi.
“Ianya berteraskan pengukuhan idealisme, roh dan jiwa perjuangan UMNO demi kelangsungan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook selepas menghadiri
Kursus Kepimpinan Putera UMNO Malaysia yang mengumpulkan pemimpin-pemimpin muda dari seluruh pelusuk negara di Institut Latihan Pemerkasaan UMNO (ILMU), Janda Baik, Pahang.
“Putera UMNO merupakan satu proses pengkaderan dan cabang dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang terdiri daripada anak muda berumur 18 hingga 25 tahun yang dihidupkan semula untuk membina generasi pemimpin pelapis muda UMNO pada masa hadapan.
“Menariknya latar belakang kumpulan teras kali ini terdiri daripada pelbagai kelompok golongan anak muda ada yang terdiri daripada golongan profesional, pemimpin belia tempatan, imam muda masyarakat, pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia Kebangsaan, graduan terbaik universiti, pemidato, selibriti dan influencer media sosial dan pelbagai golongan anak muda seluruh Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online