BN Dah Lama Aplikasi… Pembangkang Yang Baru Ketengah Calon Muda – Mohd Hairi


JOHOR BAHRU, 16 Feb – Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) telah lama mengangkat golongan muda sebagai calon dalam pilihan raya dan ianya bukanlah sesuatu yang baharu sebagaimana dicanang oleh pihak lawan menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, BN tidak pernah pupus pemimpin akar umbi dari pelbagai lapisan masyarakat termasuklah golongan profesional, berpendidikan mahupun masyarakat biasa.

“Apabila pihak lawan mengatakan berkaitan calon muda sebenarnya mereka baru mengetengahkan perkara ini kerana BN dah lama aplikasi.

“Kita lihat dalam UMNO/BN sendiri mengetengahkan Datuk Seri Najib pada usia yang muda dan menjadi menteri besar pada usia 28 tahun,” katanya kepada UMNO Online baru-baru ini.

Dalam hal lain, beliau juga menolak dakwaan pembangkang yang menjadikan alasan pengundi luar termasuk di Singapura sukar untuk pulang mengundi dalam PRN ini kerana COVID-19.

“Sama juga dengan kenyataan mereka bahawa pengundi di luar tidak boleh pulang ke Johor sedangkan persoalannya adakah yang di luar negara itu adalah pengundi mereka semua?

“Saya tanyakan kepada mereka, mana mungkin apabila mereka duduk di sana maka mereka akan mengundi pembangkang kerana kita yakin yang pengundi-pengundi itu pun ada datangnya daripada UMNO yang berada di luar negara untuk mencari rezeki.

“Jadi saya mengharapkan bagi pengundi-pengundi di negeri Johor bijak untuk mencari kestabilan politik dan kestabilan negeri untuk memastikan negara ini kembali makmur dan selamat.”

Berkaitan persediaan menjelang PRN Johor yang dijadualkan hari pengundiannya pada 12 Mac ini, Mohd Hairi memaklumkan bahawa gerak kerja berjalan lancar.

“Gerak kerja untuk Pemuda Negeri kami telah menggerakkan di setiap bahagian iaitu melibatkan 26 bahagian dengan kita akan mengerah seluruh jentera. Saya melihat pada PRN ini ramai sukarelawan yang bukan datang dari negeri Johor sahaja tetapi mereka sendiri datang dari luar dengan sukarela.

“Apabila saya sendiri mendengar pihak sebelah sana yang menyatakan bahawa orang muda ini undinya berpihak kepada mereka maka mereka silap kerana orang muda ini minatnya bukan hanya kepada sebelah pihak sahaja sebaliknya mereka akan menilai dengan lebih bijak dan lebih cermat.

“Pesanan saya kepada orang muda, pastikan pilihan yang tepat demi kestabilan kerana kestabilan itu amat penting untuk Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.