UMNO/BN Tak Rakus… PRN Demi Mandat Kerajaan Baharu Untuk Pembangunan, Kemajuan Rakyat – Onn Hafiz
JOHOR BAHRU, 15 Feb – Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi menolak dakwaan pembangkang bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) rakus lantaran sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilaksana.
Sebaliknya tegas beliau, BN membuat keputusan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad menasihatkan Sultan Johor untuk membubarkan DUN adalah kerana mahu membangunkan negeri dan untuk kestabilan rakyat.
“Yang mereka momokkan di luar mengatakan kita rakus dan sebagainya sebenarnya hanya retorik. Dia (pembangkang) kata tidak akan mengganggu-gugat kestabilan politik negeri Johor tapi hakikatnya dalam sidang DUN dia buat kerja lain dan keadaan menjadi getir apabila Datuk Osman Sapian meninggal dunia baru-baru ini.
“Sebab itu Datuk Seri Hasni Mohammad membuat keputusan kerana kita dah tak ada masa; kerana kita nak bangunkan negeri.
“Kita perlukan mandat dari rakyat dengan mengadakan pilihan raya agar rakyat mendapat kerajaan yang stabil. Banyak lagi kerja yang nak dibuat sedangkan sebenarnya keadaan sangat tidak stabil dalam sidang DUN,” katanya.
Sehubungan itu katanya, dengan penjelasan tersebut maka tidak akan ada lagi tuduhan terhadap UMNO/BN kononnya rakus dan sebagainya kerana itu adalah retorik yang digembar-gemburkan oleh pembangkang.
Beliau berkata demikian dalam segmen FBLive malam tadi dengan tajuk ‘Orang Muda Memilih’.
Segmen ini turut disertai oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai panel dengan moderator Shahrol Shiro.
Dalam masa yang sama, Onn Hafiz menekankan bahawa pemikiran anak-anak muda Johor sekarang dengan dahulu iaitu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah berbeza.
“Dulu ramai yang termakan hasutan, tohmahan dan janji-janji manis yang dibuat oleh pemimpin PH (Pakatan Harapan) ketika itu.
“Anak-anak muda ketika itu juga percaya dan ada yang mengatakan apa salahnya cuba… dan ada hikmah apabila UMNO/BN kalah ketika itu kerana rakyat termasuk anak-anak muda dapat melihat ‘track record’ atau pentadbiran PH.
“Dijanjikan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), tol percuma, peluang-peluang pekerjaan tapi apa yang dilakukan selama 22 bulan memerintah kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri.”
Jelasnya, semua pihak dapat menilai sendiri bagaimana tingkah kepimpinan PH apabila berkerajaan.
“Kita boleh lihat sendiri, malah di kawasan saya di DUN Layang-layang yang rata-ratanya pendapatan bergantung kepada sawit juga amat terkesan.
“Dalam masa pentadbiran PH, harga sawit jatuh merudum hinggakan rakyat tak ada duit untuk berbelanja dan hal ini memberi kesan langsung juga pada peniaga.
“PH ini dapat sahaja kerajaan pusat terus pekerja-pekerja kontrak ditamatkan yang melibatkan ribuan anak-anak muda sedangkan yang dijanjikan sejuta peluang pekerjaan tapi yang jadi anak muda hilang pekerjaan.”
Kerana itu ujarnya, beliau mengharapkan agar pengundi khususnya anak muda dapat membezakan antara yang mana permata dan yang mana kaca.
“Yang mana hanya pandai bermain kata-kata, berjanji bulan dan bintang tapi tak buat kerja, cakap lain dan buat lain.
“Sekarang sudah tiba masanya kita semua menggembleng tenaga untuk membangunkan negara kerana ini adalah untuk masa depan dan negara kita. Kita kembalikan kestabilan untuk rakyat dan negara kita,” katanya lagi. – UMNO Online