Sharkar Yakin BN Punyai Kelebihan, Mampu Menang PRN Johor

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berpandangan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan menang besar atau memperoleh dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun dijangka mendapat tentangan sengit dari Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana katanya dalam pembangkang ketika ini, mereka dilihat berpecah malah PH terbahagi kepada dua apabila PKR membuat keputusan menggunakan lambang sendiri.

“Yang tinggal hanya DAP dan Amanah memakai lambang PH, jadi ia begitu kompleks dan mengelirukan pengundi ekoran sikap mementingkan diri ini. Dalam PN pula, ia dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan juga PAS yang mana kedua-kedua parti ini tiada tempat di negeri Johor.

“Selepas BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat di Johor merasai pengalaman ditadbir oleh parti selain dari BN dan UMNO. Tentunya rakyat di Johor sudah bijak menilai parti mana mampu membawa kestabilan dan mentadbir negeri berkenaan.

“Akibat kerapuhan dan gabungan yang longgar, maka berlaku kecelaruan politik di Johor. Bagi BN, walaupun tewas PRU-14, parti ini tetap dalam gabungan kukuh dan lama yang sentiasa istiqamah dalam perjuangannya dulu, kini dan selamanya,” kata Exco Kerajaan Negeri Pahang itu kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi, BN kekal diterajui oleh UMNO bersama MIC dan MCA serta parti komponennya malah BN juga mempunyai Friends of BN dan parti gabungan BN lain yang pastinya memberikan kekuatan kepada parti berkenaan untuk menerajui Johor.

Tambahnya rakyat di Johor tentunya tidak lupa dengan kegagalan PH selama 22 bulan ketika memerintah termasuk gagal menunaikan manifesto PRU lalu dan pengundi tentunya sudah muak dan bosan dengan ketidaktentuan dan kecelaruan politik yang berlaku di Johor.

“Rakyat Johor juga tentunya melihat PH khususnya PKR dan DAP sudah semakin hilang pengaruh. Parti-parti lain seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dilihat terlalu baru dan masih tidak mempunyai sebarang rekod,” kata Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang.

Begitu juga katanya di dalam PRN Johor kali ni, BN menamakan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad sebagai ‘poster boy’, bukan individu lain yang tidak bertanding di negeri itu seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak ataupun Bossku.

“Tentunya rakyat Johor mengenali ‘poster boy’ BN dan bakal Menteri Besar Johor itu jika BN menang pada PRN Johor pada 12 Mac ini.

“Selain itu, pada PRN Johor kali ini, undi kepada BN dijangka meningkat 10 ke 12 peratus membabitkan undi Melayu yang kembali memilih BN selepas tidak berbuat demikian pada PRU-14 lalu. Undi masyarakat India terhadap BN juga dijangka meningkat 10-15 peratus.

“Ini kerana, selepas PRU-14 dan berdasarkan pengalaman mentadbir negara lebih 60 tahun, rakyat melihat hanya BN dan UMNO mampu memerintah sekali gus membawa kestabilan bukan sahaja di Johor malah seluruh negara,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.