Pemuda UMNO Kedah Sedia Bantu ‘Poster Boy’ Memenangi PRN Johor
ALOR SETAR, 15 Feb – Barisan Nasional (BN) telah menetapkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad sebagai ‘poster boy’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli.
Jelasnya, pihaknya akan membantu berkempen dan memastikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu kekal menjadi Menteri Besar apabila mendapat mandat rakyat bagi mentadbir negeri Johor.
“Tanggungjawab yang diberikan oleh UMNO Kedah untuk berkempen di PRN Johor ialah Parlimen Pontian dan Tanjung Piai di mana Pontian adalah tempat Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan beliau juga adalah ‘poster boy’ yang akan dicadangkan sekiranya menang dan diberi mandat rakyat pada PRN Johor.
“Atas semangat parti dan ‘poster boy’ yang sangat diminati ini sudah pasti Pemuda UMNO Kedah khususnya akan berkerja sekuat yang mungkin untuk pastikan bahawa PRN Johor ini akan dimenangi oleh UMNO/BN dan akan memartabatkan Datuk Hasni Mohamad sebagai Menteri Besar Johor,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pendang membidas kenyataan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengatakan Pemuda UMNO hanya hebat di media sosial.
“Beliau merasakan tamparan tersebut dan beliau harus sedar bahawa dunia hari ini terutama platform media maya merupakan paling diminati oleh orang muda dan juga semua golongan.
“Sebagai parti politik sudah pasti untuk menyebarkan maklumat, gerak kerja dan sebagainya, sudah pasti Pemuda UMNO akan menggunakan platform yang diminati oleh rakyat khususnya golongan muda.
“Gah atau tidak gah… itu penilaian. Kalau gah pun penuh berfakta dan tidak palsu berbanding dengan Muda yang lebih pada retorik dan sentimen populis serta tidak berfakta. Dengan kenyataan tersebut bahawa beliau mengakui hari ini UMNO menjuarai media sosial,” ujarnya. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan