Kerjasama Negeri Angkat Amat Penting, Perlu Diselaraskan Dan Berstrategik Untuk Kemenangan – Hasni

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Seri Hasni Mohammad berkata kerjasama dengan negeri angkat perlu diselaraskan dengan betul.

Ini kerana katanya, peranan mereka amat penting dalam membantu kemenangan calon dan parti Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

“Kerjasama dengan negeri angkat perlu diselaraskan dengan betul kerana peranan mereka amat penting dalam membantu kemenangan calon dan parti kita.

“Laksanakanlah tugasan yang diberikan dengan baik dan berstrategi,” ujar Pengerusi BN Johor itu dalam satu hantaran di Facebook.

Hasni yang juga Menteri Besar Johor mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan barisan kepimpinannya yang sudi bertandang ke Rumah UMNO Pontian, malam tadi.

“Kehadian mereka bagi menghadiri Majlis Taklimat PRN Johor bersama-sama kepimpinan UMNO Pontian amat dihargai dan menyemarakkkan lagi semangat kami.

“Bagi pihak UMNO Bahagian Pontian, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada UMNO Kedah,” katanya.

Seterusnya, Hasni juga berharap agar pengalaman luas yang dimiliki UMNO Kedah dapat dikongsi dengan UMNO Johor untuk memenangi PRN kali ini.

Dilaporkan, pada 22 Jan lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian dan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.