Johor Mempunyai Pelaburan Tertinggi Tahun 2016, 2017 Dan 2018, Tetapi Menjunam Selepas 2018 – Tunku Mahkota Johor

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Tunku Mahkota Johor Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim bertitah Johor merupakan negeri yang mempunyai jumlah pelaburan tertinggi antara tahun 2016, 2017 dan 2018.

Tetapi menurut DYAM Tunku Ismail di dalam satu perkongsian di Facebook malam tadi, selepas tahun 2018 jumlah pelaburan di negeri itu mula menjunam.

“Saya berharap ekonomi negeri akan bertambah baik dan dapat secara langsung menyediakan lebih peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor.

“Ini amat penting bagi memastikan rakyat boleh menjana lebih pendapatan dan mempunyai keupayaan perbelanjaan yang lebih tinggi,” titahnya yang turut memaparkan graf jumlah pelaburan tersebut bersumberkan dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Jelas kelihatan di dalam graf tersebut, Johor mengungguli tempat pertama di dalam jumlah pelaburan sektor pembuatan pada tahun 2016 dengan memperolehi RM26.41 bilion; RM21.93 bilion (2017) dan melonjak ke angka RM30.51 bilion (2018).

Manakala pada 2019 turun mendadak dengan hanya memperolehi RM11.46 bilion pelaburan di tangga keempat dan seterusnya RM6.78 bilion (tangga kelima) pada 2020.

Tegas DYAM Tunku Ismail lagi, dasar-dasar ekonomi yang menggalakkan perkembangan ekonomi dan pembangunan ketara amat diperlukan.

“Kita perlu bersama-sama berganding bahu dan memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi. Ini harus menjadi keutamaan kita,” titahnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit