BN/UMNO Sabah Sedia Galas Tanggungjawab Pastikan Kemenangan Parti Di Johor – Bung
JOHOR BAHRU, 15 Feb – Barisan Nasional (BN)/UMNO Sabah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai negeri angkat untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan Puteri Wangsa di kawasan Parlimen Tebrau serta DUN Permas dan Johor Jaya di Parlimen Pasir Gudang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac depan.
Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata BN/UMNO Sabah telah diberikan tanggungjawab untuk membantu jentera parti tempatan berkempen di kawasan yang terlibat yang beliau anggap sebagai satu cabaran, namun yakin semangat serta strategi serta gerak kerja kempen yang tersusun empat DUN ini akan dapat ditawan semula.
“Kita tidak perlu melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana ketika itu fikiran rakyat telah dipesongkan dengan pelbagai fintah, propaganda pembangkang antaranya isu 1MDB, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan lain-lain.
“Namun setelah 22 bulan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) memerintah, rakyat secara keseluruhan telah melihat dan merasa apa yang telah dilaksanakan oleh kedua-dua kerajaan ini bukan sahaja gagal membangunkan negara malah, gagal menunaikan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat, ” katanya ketika ditemui selepas majlis Taklimat dan Penyerahan Negeri Angkat Jentera BN PRN Johor bagi Zon Selatan di sini malam kemarin.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden yang juga Pengarah PRN Johor Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hadir sama Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Menteri Besar Johor yang juga Ketua Penyelarasn PRN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Pengerusi BN Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Menurut Bung yang juga Ketua UMNO Sabah, selain itu cabaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menyukarkan pergerakan jentera selain berhadapan pengundi baharu yang terdiri dari remaja 18-21 tahun yang memerlukan mekanisme serta pendekatan yang sesuai bagi menarik sokongan dari pengundi yang buat pertama kalinya mengundi pada PRN Johor kali ini.
“Kita (jentera BN/UMNO sudah bersedia menghadapi cabaran itu, ini termasuklah media sosial sebagai platfrom mendekati mereka,” katanya.
Dalam pada itu Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata 400 jentera BN/UMNO dari Sabah akan berkampung selama dua minggu di sini akan membantu jentera tempatan untuk berkempen.
“Kita akan membantu dari belakang ini kerana jentera tempatan lebih memahami isu-isu tempatan yang ada di sini,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu lagi.
Sehubungan dengan itu Bung mengingatkan jentera dari Sabah agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan selain menjaga tata susila semasa berkempen. – UMNO ONLINE