PRN Johor: Penting BN Menang Untuk Kestabilan – Bung

TEBRAU, 13 Feb – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor amat penting bagi memulihkan imej dan maruah Melayu serta UMNO yang lahir di Johor Baharu.

Ahli Majlis Kerja tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) di dalam PRN Johor amat penting bagi memberikan isyarat kebangkitan rakyat memilih BN sebagai parti yang akan mengemudi pentadbiran negara pada masa hadapan.

“Rakyat telah merasakan pentabiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional selama 22 bulan dan mereka melihat kegagalan sebuah kerajaan yang bukan sahaja gagal menunaikan manifesto yang dijanjikan, namun gagal membangunkan negara sehingga keadaan ekonomi semakin merundum dan kesejahteraan rakyat terabai,” katanya ketika berucap di majlis Ramah Mesra BN Sabah bersama BN Tebrau dan Pasir Gudang di Savana Hill Hotel dan Resot di sini, Sabtu.

Hadir sama Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua UMNO Bahagian Tebrau yang juga Pengerusi BN bahagian Datuk Maulizan Bujang, Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan dan ketua-ketua komponen BN kawasan terbabit.

Menurut Bung yang juga Pengerusi BN Sabah, PRN Johor penting untuk mendapatkan mandat baru dari rakyat bagi mereka membuat pilihan kerajaan mana yang lebih baik mentadbir Johor dan juga negara.

“PRN ini bukan seperti dakwaan pihak dengan pelbagai retorik, propaganda dan fitnah, sebaliknya adalah soal mandat rakyat supaya kerajaan negeri dipimpin oleh parti yang kuat dan stabil,” katanya Ahli Parlimen Kinabatangan itu lagi.

Bung menambah kemenangan UMNO dan BN pada PRN Johor kali ini akan beri mesej dan isyarat terhadap keupayaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Bagaimanapun beliau berkata untuk menang jentera parti perlu berkerja keras dan bergerak seiring bersama parti komponen yang lain mendekati pengundi semasa PRN Johor kali ini.

“Kalau mahu menang kita buat kerja cara menang dan tidak mustahil kita boleh mencapai kemenangan kerana struktur jentera parti kita cukup lengkap. Ianya hanya perlu digerakkan dengan penuh semangat dan bergerak dalam satu pasukan.

“Gerak kerja jentera yang lebih berfokus amat penting supaya kerjasama antara parti. Ini kerana komposisi kaum di Johor di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bahkan Parlimen memang mengandungi komposisi berbilang kaum,” tambah Bung.

Sehubungan dengan itu menurut Bung, amat penting jentera parti dilihat secara bersepadu dan sebagai BN supaya masyarakat berbilang kaum akan menyokong kita, sekaligus memberi kemenangan yang besar.

Dalam pada itu Bung berkata UMNO Sabah akan menghantar 400 orang jentera untuk membantu jentera BN menghadapi PRN kali ini.

“Kita akan berkampung di sini selama dua minggu. Kita akan membantu jentera BN di dua kawasan Parlimen Tebrau dan Pasir Gudang. Jentera UMNO/BN Sabah akan membantu dari belakang jentera yang ada di sini kerana mereka lebih memahami isu-isu tempatan,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.