PRN Johor: BN Bukan Seperti PH, Rangka Manifesto Bulan Dan Bintang – Bastien

KUALA LUMPUR, 13 Feb – UMNO sebagai parti yang mendukung Barisan Nasional (BN) akan memastikan manifesto yang diberikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak adalah realistik mengambil pengajaran daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) lalu, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Bastien Onn.

Jelas beliau ini kerana BN tidak akan mengulangi kesilapan dilakukan Pakatan Harapan (BN) yang hanya merangka manifesto bertujuan semata-mata memancing undi rakyat sedangkan janji tersebut adalah di luar kemampuan.

“Sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab kita tidak akan menjanjikan suatu yang tidak mampu ditunaikan kerana tidak mahu mengulangi pengajaran yang kita dapat daripada PRU ke-14.

“Kita juga tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh PH semasa menjadi kerajaan yang menjanjikan bulan dan bintang.

“Setengah perkara yang mereka janjikan itu kita tahu tidak mampu dicapai kerana tidak mengambil kira kedudukan semasa kerajaan ketika menabur janji,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat itu juga berharap rakyat di negeri ini dapat berfikir secara rasional untuk memilih kerajaan baharu bagi meneruskan agenda kemajuan yang telah dirangka.

Malah katanya, BN adalah pilihan terbaik kerana satu-satunya gabungan yang jauh kehadapan dari segi pengalaman dalam melakukan tadbir urus kerajaan berbanding parti lain.

“Saya minta rakyat negeri Johor memikirkan sebaiknya bagaimana hendak mengundi sebuah kerajaan yang hanya boleh menunaikan janji mereka dan juga sebuah kerajaan yang bukan sahaja pragmatik tetapi lebih realistik dalam soal menabur janji kepada rakyat

“Pengalaman ini kita telah peroleh, sepanjang tempoh perubahan Perdana Menteri selepas PRU ke-14 ini kita telah mengenal pasti cita rasa dan kehendak rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.