KEDA Bina 5,173 Unit Rumah Untuk Golongan Miskin Sejak RMK-4
KUALA NERANG, 13 Feb – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah membina 5,173 buah rumah untuk golongan miskin di negeri ini sejak penubuhannya lebih 40 tahun lepas.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,311 rumah telah didirikan di 14 kampung tradisional manakala 3,862 rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dibina di 44 kampung di bawah Desa KEDA.
“Pembinaan rumah-rumah tersebut dibuat secara penempatan berkelompok dalam satu kawasan supaya dapat memudahkan penyaluran bantuan dan lain-lain kemudahan sosial bagi mencapai keharmonian dan perpaduan.
“Projek pembangunan rumah kampung seperti ini telah dilaksanakan oleh KEDA sejak Rancangan Malaysia Keempat (RMK-4) lagi dan sehingga kini masih diteruskan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Taman Desa Pudina, Projek Pemajuan Kawasan Kubang Kenyeng di sini hari ini.
Menurut Mahdzir, seramai 23,775 orang golongan miskin telah menerima manfaat sejak program bantuan perumahan KEDA itu dilaksanakan menerusi RMK-4.
Mengulas mengenai projek pembinaan perumahan Taman Desa Pudina, Mahdzir berkata sejumlah 60 rumah dibina pada 2017 membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM9.5 juta.
“Taman Desa Pudina ini adalah projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang bertujuan membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat miskin luar bandar,” katanya.
Beliau berkata Taman Desa Pudina adalah lambang kejayaan projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang dilaksanakan oleh KEDA dengan membangunkan penempatan baharu dilengkapi kemudahan asas dan kondusif.
“Ia bertepatan dengan misi kementerian yang berusaha memanfaat sepenuhnya sumber manusia dan ekonomi serta membangunkan kawasan luar bandar bagi mewujudkan persekitaran sosioekonomi yang lebih berdaya maju, sejajar dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” katanya. – BERNAMA