Cyber Rangers Wanita Sedia Berdepan Tohmahan, Cabaran Media Sosial PRN Johor – Norshida

JOHOR BAHRU, 13 Feb – Wanita UMNO Malaysia bersedia seratus peratus mendepani cabaran siber dan media sosial bagi Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) yang akan diadakan pada Mac nanti.

Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim berkata pendekatan itu akan dilaksanakan menerusi jentera Cyber Rangers Wanita di peringkat negeri dan juga peringkat bahagian yang akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Sepertimana gerakan sebelum ini pada PRN Melaka, Wanita akan memastikan penyelarasan dan koordinasi dilaksanakan di setiap peringkat dengan cukup rapi dan teliti bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku demi memastikan kemenangan majoriti kepada Barisan Nasional (BN).

“Tiada kompromi segala gerakan jentera dan kita perlu berhati-hati serta berwaspada mengawal gerak-geri jentera parti lawan yang senantiasa menabur fitnah kepada BN dalam usaha mengaburi mata rakyat,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, sudah pasti Wanita akan memastikan segala informasi dan penerangan akan sampai ke seluruh pengundi pelbagai peringat umur sehingga ke hari akhir tempoh berkempen.

“Jentera Wanita juga akan diperkemaskan dengan jentera-jentera Wanita daripada negeri-negeri lain yang datang membantu dan diingatkan agar masing-masing supaya mematuhi segala ‘Standard Operation Procedure’ (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan sepanjang berkempen PRN Johor.

“Jentera Wanita juga diingatkan agar memahami segala isu-isu semasa setempat dan sentiasa menjaga sensitiviti pengundi-pengundi sewaktu menziarah kerana setiap pengundi adalah bernilai bagi BN demi memastikan kemenangan mutlak BN di PRN Johor kali ini.

“Gunakanlah peluang bagi berceramah di bilik gerakan untuk menyampaikan informasi kepada rakyat dan pastikan penyertaan pengundi adalah dihadkan demi menjaga keselamatan semua,” katanya.

Seterusnya, beliau juga percaya usaha ini akan membuahkan hasil kerana rakyat yakin kestabilan BN akan membawa kemakmuran kepada Negeri Johor.

“Percayalah bahawa rakyat akan bersama kita dan kita perlu buktikan bahawa kita adalah yang lebih baik demi Negeri Johor ini,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.