Bukan Standard Menteri Terima 30 Orang, Prinsip Perjuangan PPBM Mersing ‘Hangat-hangat Tahi Ayam’
MERSING, 13 Feb – Semalam tular satu kenyataan di media sosial berkenaan 30 orang ahli UMNO menyerahkan borang kepada menteri dari PPBM yang kononnya keluar parti kerana isu-isu dalam Barisan Nasional (BN) yang tidak selesai.
30 orang mereka terdiri daripada 15 dari Cawangan Teriang dan 15 dari Kampung Baharu Air Tawar.
Bagi Bendahari BN Mersing Muhammad Syukri Ibrahim berkata hal itu sememangnya jelas bukanlah satu kayu ukur sebenar situasi yang terjadi di dalam Bahagian / Parlimen Mersing.
Jelasnya, masyarakat di kawasan itu sudah jelas dan masak dengan PPBM Mersing yang hanya indah khabar dari rupa dan tidak lebih dari hangat-hangat tahi ayam dalam prinsip perjuangan mereka.
“Saya melihat isu ini langsung tidak menjejaskan ‘mood’ jentera parti dan rata-rata rakyat dah matang melihat budaya lompat yang wujud dalam PPBM Mersing kerana kedua-dua wakil rakyat yang mewakili PPBM di Mersing adalah mereka yang memegang jawatan penting sebelum ini dalam UMNO Mersing.
“Sudah pasti rakyat boleh hidu dan amat faham jika PPBM Mersing selama ini mendapat kekuatan dengan mencuri ahli dan pemimpin dari UMNO,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Syukri, sebagai kubu BN, masyarakat Mersing amat yakin dengan sesiapa yang dicalonkan oleh pucuk pimpinan bagi mewakili BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
“Rata-rata rakyat telah pun bulatkan tekad untuk memilih BN yang sejarah dan pemerintahannya adalah lebih stabil dari sudut politik serta ekonomi.
“Mimpi ngeri 22 bulan di Johor sudah memberi kesedaran kepada rakyat betapa perit, siksa dan tertekan kerana ekonomi rakyat semakin susah, pentadbiran yang kurang cekap dan pembangunan negeri yang amat pelahan,” ujarnya.
Ulasnya juga, di dalam PRN kali ini, masyarakat di Mersing juga tidak mahu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau mahupun Tenggaroh menjadi kawasan pembangkang jika kerajaan Johor dipimpin oleh BN kerana mengambil kira gelombang perubahan besar-besaran rakyat di Melaka dan Sarawak, ianya turut akan berlaku di Johor.
“Hal ini pasti merugikan masyarakat Mersing sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih mewakili parti pembangkang kerana Mersing sememangnya dahagakan pembangunan yang lebih mampan.
“Kita perlukan pemimpin yang setia dan ada pendirian. Biarlah pisang berbuah sekali sahaja dan jangan sejarah lama berulang kembali kerana luka hati masyarakat Mersing yang memilih BN dalam PRU-14 yang lalu masih berbekas,” tegasnya. – UMNO ONLINE