Elemen Kestabilan Naratif Utama Yang Rakyat Perlukan – Shahril Hamdan

ALOR SETAR, 12 Feb – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menekankan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkait dapat dengan manifesto.

Jelasnya, naratif utama yang sangat penting bagi PRN Johor ini adalah elemen kestabilan bagi rakyat negeri tersebut.

“Dalam PRN Johor ini walaupun manifesto dan ‘tag line’ belum diumumkan tapi saya yakin bahawa kepimpinan tertinggi parti menekankan unsur kestabilan sebagai salah satu elemen atau komponen naratif utama dalam PRN Johor.

“Apabila datang Pilihan Raya Umum (PRU), saya yakin kestabilan tetap akan dijadikan elemen yangutama. Diperingkat sekarang ini Penerangan sudah ada dengan cara tersendiri.

“Ini kerana kestabilan berkait dengan ‘track record’ dan pemimpin-pemimpin UMNO tahu bagaimana hendak menguruskan negara. Secara objektif kementerian-kementerian yang dipegang oleh menteri UMNO kebanyakannya ‘perform’,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata demikian pada Majlis Pemukiman Ketua-Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kedah di sini hari ini.

Dalam pada itu kata Shahril lagi, program Penerangan UMNO negeri Kedah yang dilaksanakan penuh dengan visi dan misi.

“Antara matlamat dan tujuan adalah membuat satu pendekatan yang cukup berani dan tepat iaitu memberi pemerkasaan kepada penerangan peringkat bahagian-bahagian untuk sendiri merencana dan menggerakkan jentera penerangan.

“Saya rasa ini adalah pendekatan yang sesuai dan tepat pada masanya kerana kadang-kadang dalam kepimpinan Pusat tidak mungkin dapat melihat semua perkara di bawah, tak mungkin dapat tahu dinamik politik keseluruhan dan tidak tahu setiap perkara yang berlaku di bahagian-bahagian termasuklah di Kedah.” 

Sehubungan itu jelasnya, pendekatan yang direncanakan dari peringkat Pusat tidak semuanya sesuai atau harus ‘copy paste’ dengan izin di semua peringkat bahagian-bahagian seluruh negara.

“Bukannya semua datang dari atas atau Pusat wajib dilaksana kerana ada sesetengahnya  cara atau gerakan tidak mungkin boleh diselesaikan di peringkat Negeri apatah lagi bahagian-bahagian, cawangan dan pusat daerah mengundi (PDM), maka di sinilah pentingnya Penerangan berperanan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.