Terus Bersedia, Perkemas Jentera Untuk Kemenangan BN – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah bergantung kepada kekuatan jentera parti.

Ujar Naib Presiden UMNO itu, jentera BN sentiasa bersedia dan terus diperkemaskan untuk memastikan kemenangan demi kestabilan rakyat dan negeri Johor.

“Paling penting ialah kita tidak berpecah. Dalam sesebuah perjuangan, elakkanlah perang saudara.

“Sentiasa bersatu hati kerana fokus kita adalah untuk mencapai satu matlamat iaitu kemenangan,” ujarnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Pagi tadi, Ismail Sabri mengadakan pertemuan tertutup bersama jentera BN Parlimen Muar di Dewan Tun Sulaiman, Bangunan UMNO Muar, Muar.

Turut hadir Pengerusi BN Johor Datuk Seri Hasni Mohammad, Setiausaha UMNO Johor Datuk Samsolbari Jamali yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Ketua UMNO Bahagian Muar Datuk Seri Razali Ibrahim.

Tambah Ismail Sabri lagi, beliau membawa semangat Keluarga Malaysia pada pilihan raya itu.

“Ia bukanlah semangat baru, tetapi semangat BN yang hampir sama dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Ayuh kita bersama-sama dalam memastikan kemenangan BN demi rakyat dan semua bangsa yang kita cintai,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.