Soal Bendera Pun Tak Sepakat… Bukti PH Tiada Kestabilan
KUALA LUMPUR, 11 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Pakatan Harapan (PH) jelas tidak ada kesepakatan di dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bidas Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) itu, jika hal berkaitan penggunaan bendera pun tidak sepakat, sudah pasti perkara yang lebih besar terutama melibatkan kepentingan rakyat tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
“Bagaimana mereka mahu mentadbir Negeri Johor kalau kesepakatan tiada. Pasti Kerajaan Johor tiada kestabilan kalau mereka memerintah.
“Bayangkan, soal bendera pun tidak sepakat. Bagaimana nanti isu lebih besar terutama soal kepentingan rakyat?” soalnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Jelas Ahli Parlimen Lenggong itu lagi, bendera adalah lambang penting parti.
“Kerana itu BN kekal menggunakan lambang Dacing berwarna biru yang menjadi simbol kesepakatan UMNO, MCA, MIC dan PBRS yang menjadi anggota BN.
“Semua Parti UMNO, MCA, dan MIC menggunakan bendera ini di PRN Johor kali ini.
“Kenapa Dap, PKR, Amanah tidak sepakat menggunakan satu bendera ya?” tanyanya lagi.
Kerana itu ujarnya, undilah BN demi kestabilan.
Pada PRN Johor Dap dan Amanah bersetuju menggunakan bendera dan lambang PH manakala PKR sebaliknya menggunakan bendera dan partinya sendiri walaupun berada di dalam satu gabungan. – UMNO ONLINE