Rakyat Muak Drama Politik, PRN Terbaik Stabilkan Negeri – Norshida
KUALA LUMPUR, 11 Feb – Rakyat di negeri Johor sudah muak dengan drama politik yang terjadi dan memahami keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim.
Jelas beliau lagi, ini kerana rakyat sudah merasai pengalaman berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan sebagai gagal meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Sekarang Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan dan kita melihat pelbagai isu yang dibawa dan dimainkan rakyat khususnya PH yang telah gagal tadbir dan memakmurkan negeri.
“Kita katakan begitu sebab tidak nampak kestabilan dalam politik Johor itu dengan jelas bila berlakunya perbezaaan satu kerusi di DUN dan yang paling takut apabila pelaburan dalam negeri dan ekonomi rakyat terjejas.
“Kita dapat merasakan rakyat terkesan daripada perbalahan dan ketidakstabilan politik… sekarang rakyat telah dapat menilai adanya PRN Johor ini untuk memberi mandat kepada mereka memilih kerajaan yang ada iaitu Barisan Nasional (BN) untuk membina negeri dan negara yang lebih stabil dalam menjaga ekonomi,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.
Sementara itu Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat turut berkongsi gerak kerja tulang belakang parti itu yang komited dalam mendekati rakyat melalui program Cyber Rangers Wanita untuk mendepani PRN.
“Selama ini kita bergerak melalui program Cyber Rangers yang diperkenalkan untuk memperkasa media sosial Wanita untuk lebih mahir dalam mengurus tadbir digital.
“Kita lihat Wanita lebih peka dan cenderung di samping telah menjalankan Jalinan Rakyat (JR) secara bersemuka tetapi kita juga telah mengtransformasikan Wanita itu dalam digital,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib