PRN: UMNO/BN Sedia Hadapi Fitnah, Adu Domba Lawan
KUALA LUMPUR, 11 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui bahawa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal tiba nanti pelbagai serangan yang akan dihadapi parti.
Katanya, bagaimanapun gabungan parti dalam Barisan Nasional (BN) ini sudah berdepan pelbagai asam garam dengan segala tuduhan yang dilemparkan malah akan menggunakan pelbagai platform untuk menyampaikan maklumat sahih kepada pengundi.
“Jentera BN barisan hadapan rakyat untuk melihat kebenaran memenangi dan berpadu semula di negeri Johor.
“Kita tahu strategi fitnah dan adu domba akan diulangi oleh lawan, tetapi itu hanyalah suatu cabaran yang nyata. Dengan gerak kerja tersusun para jentera BN menyalurkan informatif kebenaran pasti mengatasi kebatilan.
“Gerakan secara konvensional dan kaedah baharu menggunakan platform media sosial menjadi percaturan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Malah Pengerusi BN itu menzahirkan penghargaan kepada jentera yang bersemangat dalam melaksanakan gerak kerja parti bagi memastikan Johor kembali ditadbir sepenuhnya oleh parti keramat ini.
“Begitu hebat gelora semangat jentera BN untuk berdepan PRN Johor tidak seorang pun menunjukkan riak sangsi, risau mahupun bimbang sebaliknya amat berkobar. Gambaran jelas jentera BN telah bersedia untuk memasuki gelanggang PRN Johor pada bila-bila masa.
“Menunggu lampu hijau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), maka saksikanlah kemaraan mereka yang hebat. Terima kasih para jentera parti komponen BN di Johor atas kesungguhan dan keyakinan.
“Sesungguhnya rakyat Johor pelbagai kaum, agama dan peringkat usia sedang menanti kerajaan BN yang dirindui kembali… menjadi amanah jentera BN untuk membantu dan memastikan Bangsa Johor menebus kekhilafan lalu. Agar kisah kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan bersinar semula di negeri tersebut,” ujar beliau.
Terdahulu, SPR menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pembubaran DUN dibuat selepas kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 di blok pembangkang.
Ini susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu. – UMNO Online