Untuk Bantu Atau Sukarkan Bentuk Kerajaan… Apa Agenda Parti Muda Di PRN Johor? – Razali


KUALA LUMPUR, 10 Feb – “Berapa kerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hendak bertanding? Kalau setakat tiga atau empat kerusi perubahan apa yang hendak dibuat?

Demikian persoalan yang dilontarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim berkenaan penyertaan Muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Jelas Razali, ini kerana sekiranya parti itu hanya bertanding beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ianya tidak akan memberi kelebihan kepada mereka jauh sekali untuk membentuk kerajaan.

“Dia boleh membantu untuk menubuh atau menyukarkan pembentukan kerajaan. Sebab itu dalam konsep demokrasi bila bertanding dalam pilihan raya kita perlu sertai dalam jumlah kerusi yang boleh menubuhkan kerajaan.

“Tidak ada perubahan yang dapat dibuat parti ini jika dia bertanding tidak sampai separuh daripada kerusi DUN yang ada di Johor,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Muar itu juga turut berpandangan pengasasnya yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah tentu akan berhati-hati untuk berkempen pada PRN kali ini.

“Syed Saddiq pernah menjadi seorang menteri jadi kalau dia hendak janji atau bercerita kena juga kena bertanggungjawab kenapa tak buat masa jadi kerajaan.

“Kalau dahulu BN menjadi kerajaan bertahun-tahun jadi kita berhadapan dengan pilihan raya dengan pembangkang.

“Tapi yang membangkang itu kali ini pernah juga jadi kerajaan, mereka tidak boleh berkempen macam dahulu,” ujar beliau.

Jelas Razali lagi, beliau juga melihat Muda tidak realistik kerana fokus mereka hanya golongan belia sedangkan parti lain juga mempunyai kepimpinan dalam pelbagai peringkat umur.

“Semua parti yang ada dalam negara ini ada sayap macam UMNO ada Pemuda dan Puteri, tidak perlu sebuah parti yang khusus bercerita tentang orang muda kerana UMNO silih berganti kepimpinannya dan semua datangnya daripada sayap parti ini.

“Parti lain ada Angkatan Bersatu Anak Muda, Angkatan Muda Keadilan, Pemuda Sosialis Dap. Jadi parti ini apa agenda? Adakah kepimpinan mereka akan sentiasa muda atau selepas satu peringkat memberi tampuk kepimpinan kepada orang lain tapi kalau orang yang sama juga jadi Presiden parti maka ia adalah suatu gula-gula politik.

“Saya bukan tidak percaya tetapi yakin bahawa untuk masa depan lebih baik kita perlu orang muda cuma dalam bentuk macam mana dari segi pengalaman dan bimbingan yang perlu diberi. Adakah kita boleh menyerahkan masa depan negara ini kepada orang muda tanpa meneladani soal kepimpinan yang sebelumnya,” katanya.

Semalam dilaporkan Muda ditawarkan untuk bertanding di enam kerusi PH UNTUK bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya walaupun Muda tidak menyertai Pakatan Harapan (PH).– UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.