SPR Sasar 70 Peratus Keluar Undi PRN Johor
JOHOR BAHRU, 9 Feb – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang akan diadakan pada 12 Mac depan.
Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata dalam menggalakkan pengundi menunaikan tanggungjawab, pihaknya akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran termasuk media sosial.
Beliau berkata hebahan kempen itu adalah melalui siar raya dan pemasangan kain rentang meliputi lokasi strategik tumpuan awam, dan tempat-tempat lain yang bersesuaian.
“SPR juga memohon kerjasama semua termasuk pihak media dan parti-parti politik, agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi.
“SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi penstriman langsung bagi DUN yang terpilih di laman Facebook SPR, sebagaimana yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Ghani berkata untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal calon yang bertanding dalam PRN Johor, supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat PRN Johor, sebelum Hari Penamaan Calon.
Katanya, bakal-bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal, bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.
“Bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu, hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya.
Beliau berkata tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Feb sehingga pukul 11.59 malam 11 Mac.
Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), sedang mengemas kini satu prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan pilihan raya, sebagai pencegahan penularan wabak berkenaan.
Terdahulu, SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb, dan pengundian awal pada 8 Mac.
Untuk rekod, pengundi PRN Johor adalah seramai 2,597,742 orang yang terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa; 10,955 anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan termasuk Polis Pasukan Gerakan Am (PGA); dan 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
Menurut Abdul Ghani, seramai 43,149 pengundi terdiri orang kurang upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan mengundi di Saluran 1 pada PRN Johor.
Pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat mengenai pusat serta saluran mengundi melalui laman portal pengundi.spr.gov.my atau hubungi 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak mulai 21 Feb ini. – BERNAMA