PRN Johor: SUA Teruskan Siri Perjumpaan, Perkemas Gerak Kerja UMNO
KUALA LUMPUR, 9 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meneruskan siri perjumpaan beliau ke UMNO Bahagian-bahagian sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau semalam melakukan kunjungan ke Labis dan Sekijang mendengar taklimat dan perbincangan bersama kepimpinan bahagian dan jawatankuasa dalam merangka strategi untuk Barisan Nasional (BN) menawan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen berkenaan.
“Perjumpaan dan perbincangan apakah yang patut dilakukan dengan kepimpinan UMNO Bahagian Labis. Semoga BN dapat menawan DUN Tenang dan DUN Bekok pada PRN nanti.
“Turut mendengar taklimat persediaan pilihan raya dengan UMNO Bahagian Sekijang. Data dan strategi yang lengkap sangat penting. Semoga BN dapat menawan DUN Kemelah dan juga dapat tawan DUN Pemanis yang hanya kalah tipis,” katanya.
Terdahulu Ahli Parlimen Pontian itu sebelum ini ke Mersing, Kota Tinggi, Tebrau dan Tenggara sebelum ke Kulai, Pengerang, Ledang, Muar dan Bakri.
Sepanjang kunjungan pada minggu lalu beliau memaklumkan menerima pelbagai luahan daripada rakyat di Johor yang berharap agar negeri ini ditadbir sebaiknya di bawah kerajaan yang stabil.
Katanya, rakyat melihat PRN ini sebagai medium untuk memastikan negeri ini dipimpin oleh parti yang mendokong aspirasi mereka sekaligus memakmurkan Johor.
Dilaporkan, pada 22 Jan lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.
Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – UMNO Online