PRN Johor: Semoga Yang Terbaik Jadi Pilihan… Jangan Pisang Berbuah Dua Kali – Zahid
KUALA LUMPUR, 9 Feb – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb, dan pengundian awal pada 8 Mac.
Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar yang terbaik menjadi pilihan rakyat.
“SPR sudah umumkan tarikh PRN Johor. Semoga yang terbaik menjadi pilhan. Jangan sampai pisang berbuah dua kali,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menerusi laman facebooknya, hari ini.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Jan lepas untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Terdahulu, DUN Johor diterajui BN dengan dengan hanya kelebihan satu kerusi iaitu 28 yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).
Untuk rekod, pengundi PRN Johor adalah seramai 2,597,742 orang yang terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa; 10,955 anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan termasuk Polis Pasukan Gerakan Am (PGA); dan 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara. – UMNO Online