PRN: Bukti Hasni Pemimpin Berjiwa Besar, Pentingkan Agenda Makmurkan Johor – Bastien
JOHOR BAHRU, 9 Feb – Keputusan yang diambil untuk menyerahkan mandat kepada rakyat Johor menunjukkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad adalah berjiwa besar dan tidak tamak kuasa seperti dakwaan segelintir pihak, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Bastien Onn.
Katanya ini kerana, sekiranya Hasni adalah pemimpin yang digambarkan sebagai tamak semestinya beliau akan terus mengekalkan kuasa dalam memimpin negeri itu.
“Keputusan Hasni untuk bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan kerana tamakkan kuasa. Persepsi ini perlu diperbetulkan kerana kalau dibincangkan soal kuasa Hasni berada di tampuk kuasa dan keputusan untuk menyerahkan mandat ini kepada rakyat menunjukkan sifat beliau yang tidak gila kuasa.
“Tapi apa yang paling penting beliau memikirkan soal kedudukan kerajaan yang ada pada hari ini. Kerajaan yang ada sebelum pembubaran menunjukkan tiadanya keseimbangan dan kedudukan yang kukuh kerana bergantung kepada single majoriti apabila pemergian ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.
Sementara itu, Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat juga menolak dakwaan mengaitkan pelaksanaan PRN ini mempunyai kaitan dengan hal dalaman UMNO.
Katanya pilihan raya ini lebih kepada mencari kestabilan politik supaya kerajaan baharu yang bakal dibentuk kelak dapat fokus dalam menguruskan kebajikan rakyat dan ekonomi negeri.
“Tidak timbul soal perpecahan dalam UMNO tapi ini adalah soal bilangan kerusi yang tidak cukup dan perkara ini harus diteliti dan Hasni menyerahkan kembali kepada rakyat biarlah mereka yang memilih kerajaan
“Saya percaya ini adalah langkah bertanggungjawab yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan UMNO/Barisan Nasional supaya rakyat dapat meneruskan dengan keadaan yang mencabar ini COVID-19, ekonomi, pendidikan anak-anak yang sudah lama terbengkalai ianya menagih kerajaan yang kukuh untuk meneruskan agenda-agenda ini,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib