Rakyat ‘Poster Boy’ Sebenar BN – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti yang berteraskan kepentingan rakyat.

Oleh kerana itu, dalam satu hantaran ringkas di Facebook petang ini Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata rakyat adalah ‘poster boy’ bagi parti itu.

“BN adalah parti rakyat. ‘Poster boy’ sebenar BN adalah rakyat.

“BN bukan mewakili sesiapa. BN adalah dari semua untuk semua,” tegasnya.

Dilaporkan sebelum ini Ketua Penerangan PPBM yang juga merupakan penulis buku manifesto Pakatan Harapan (PH) Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa UMNO menamakan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai ‘poster boy’  bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (Johor).

Manakala Najib di dalam satu hantaran di dalam platform media sosial yang sama turut membidas Wan Saiful.

“Boleh tahan bebal, adik buku manifesto ini. Kan dah terang-terang ini PRN?

“PRN sudah tentu guna calon Ketua Menteri atau Menteri Besar sebagai ‘poster boy’ – seperti apa yang BN buat masa PRN Melaka.

“Kenapa pulak nak guna wajah saya, Zahid atau PM (Perdana Menteri) Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob? Cabaran bodoh apa ini? Bidas Najib lagi.

Jelasnya lagi, hanya PPBM yang tidak faham konsep dan telah tersalah guna slogan ‘Abah Sayang Melaka’ atau mungkin guna ‘Abah Sayang Johor’ tetapi tidak berani pertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berhubung dengan Pilihan Raya Umum (PRU) tambah Najib ia sesuatu yang berlainan.

Untuk rekod, pada PRN Melaka November tahun lalu PPBM telah menamakan Presiden mereka yang berasal dari Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘poster boy’ dengan tema ‘Abah Sayang Melaka’ tetapi tidak mendapat tempat di hati rakyat negeri itu apabila hanya menang di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 28 kerusi jumlah keseluruhan.

Manakala rakan sekutu di dalam Perikatan Nasional (PN) gagal memenangi sebarang kerusi.

Berhubung dengan PRN Johor kelak, banyak pihak mencabar PN meletakkan kembali Muhyiddin sebagai ‘poster boy’. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.