Ahli PPBM Keluar Parti Kerana Manifesto Tidak Pragmatik, Tidak Realistik Janji Bulan Bintang

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ahli PPBM (Bersatu) yang keluar dari parti itu menzahirkan rasa kesal menyokong parti yang manifestonya tidak pragmatik, tidak realistik yang menjanjikan bulan dan bintang yang akhirnya tidak terlaksana.

Ujar Ketua UMNO Pasir Gudang itu, mereka berikrar memastikan Johor menjadi negeri yang kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) demi kestabilan dan perlaksanaan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Saya dijemput  untuk bersama dengan En. Mohd Zahid Ismail, Ketua Bersatu Cawangan Desa Harmoni berserta dengan ahli-ahlinya yang mengumumkan keluar dan membubarkan cawangan Bersatu di situ.

“Saya percaya, ini bukan gimik politik atau tindakan berdasarkan habuan dan balasan.

“Sebaliknya keputusan dan pertimbangan ini dibuat selepas mereka saksikan ketidakstabilan dan tidak mempunyai hala tuju parti Bersatu itu sendiri,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Walaupun begitu kata Khaled, keputusan mereka mestilah disusuli dengan usaha memenangkan BN di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

“Apa pun, keputusan meninggalkan Bersatu mesti disusuli dengan usaha dan tindakan menguatkan UMNO dan memenangkan calon BN yang akan bertanding di DUN (Dewan Undangan Negeri) Johor Jaya.

“Mereka berikrar untuk bersama mewujudkan kerajaan yang kuat, stabil dan kukuh melalui BN dalam PRN kali ini,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.