PRN Melaka Beri Inspirasi, Semangat Untuk Kejayaan UMNO/BN Di PRN Johor – Shahril Hamdan

JOHOR BAHRU, 5 Feb – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata resipi kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, November lalu dengan menetapkan kriteria calon Barisan Nasional (BN) menepati ciri ‘WALI’ iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’ dan ‘likeable’ adalah inspirasi dan semangat kepada parti untuk PRN Johor nanti. 

Katanya, PRN Melaka telah menjadi satu pengalaman yang berguna iaitu meletakkan muka-muka baharu dan boleh memberikan inspirasi dan semangat kepada pengundi memilih BN.

“Konsep WALI yang diterapkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh lari dan harapan saya sebagai yang muda dalam parti untuk melihat lebih ramai pemimpin-pemimpin daripada Pemuda dan Puteri yang diketengahkan. Saya fikir biarlah kepimpinan parti tertinggi memutuskan.

“Tidak sesekali mengetepikan yang ada pengalaman cuma gandingan itu biarlah formula gandingan merentasi generasi supaya di setiap julat umur ada wakil.

“Saya yakin kepimpinan tertinggi parti terutamanya Presiden, Timbalan Presiden sebagai Pengarah Pilihan Raya mengambil kira pengalaman di PRN Melaka untuk disesuaikan keadaan di Johor dan mengambil kira kebijaksanaan daripada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor,” katanya kepada pemberita di sini petang semalam ketika sesi santai bersama pengamal media yang akan bertugas semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa negeri Johor ini mempunyai pelbagai bangsa.

“Saya menyambut baik kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengatakan bahawa Johor memerlukan kemenangan dan sokongan daripada masyarakat majmuk. Di situ pendekatan UMNO/BN perlu mencerminkan semangat BN yang meraikan kemajmukan.

“Banyak kerusi-kerusi campuran dalam DUN ini bukan hanya kawasan yang besar majoriti Melayu dan ada juga kawasan yang bukan majoriti Melayu itu kerusi campuran, bermakna kerusi-kerusi yang ada 50-60 peratus bumiputra dan bukan bumiputra.

“Dari segi naratif, manifesto BN… saya yakin perlu ditekankan konteks keunikan Johor dan kemampuan BN untuk menampilkan satu visi yang benar-benar ‘wasatiyah’. Kita hendak kembali tema itu dan boleh menangkap semua kaum dan bukan hanya kaum Melayu saja,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau menjelaskan PRN Johor adalah ujian yang sangat besar kepada semua parti disebabkan pengundi muda dan pengundi yang kali pertama mengundi.

“Ini adalah ujian besar bagi semua parti politik dan ini adalah kali pertama undi automatik dan undi 18 tahun dipraktikan. Sebelum ini hanya satu konsep dan kali ini adalah pertama dan betul-betul teruji. Itu satu kesedaran yang sangat meluas.

“Tidak semestinya yang muda tidak tahu, dan tidak semestinya kalau sudah berumur sikit tahu semua… tidak juga. Dalam hal ini ianya lebih kepada saluran paling relevan untuk pengundi muda yang mahu mendengar isu pendidikan, peluang pekerjaan, pendirian parti ataupun calon yang bertanding,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit