PRN Johor Penentu Masa Depan UMNO/BN, Impak Kebangkitan Menuju PRU15 – Mohamad
ISKANDAR PUTERI, 5 Feb – Barisan Nasional (BN) perlu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memberikan impak kepada kebangkitan parti itu di peringkat nasional, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya perkara ini penting kerana matlamat BN juga untuk memperkukuh kekuatan menjelang persiapan menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU ke-15).
“Hendak menang buat cara nak menang jangan sambil lewa, ini bukan pesta pilihan raya tapi penentu masa depan parti kita di Johor dan juga keputusan beri impak kepada PRU yang bakal diadakan pada bila-bila masa.
“Maka kemenangan kita di Johor merupakan sesuatu yang wajib dicapai pada malam hari pembuangan undi. Insya-Allah kita akan menang bergaya seperti di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera BN Negeri Johor Pusat Operasi Zon Barat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri malam tadi.
Tambah Timbalan Presiden UMNO itu lagi, kemenangan di PRN Melaka juga sepatutnya dijadikan pembakar semangat namun beliau mengingatkan keputusan tersebut tidak seharusnya dijadikan sandaran utama.
Jelasnya ini kerana, pihak pembangkang tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kemenangan kepada BN khususnya di Johor yang membawa signifikan tersendiri kepada UMNO.
“Menang selesa di Melaka jangan rasa selesa di Johor kerana setiap pilihan raya tak sama… lain permainan lain cara dia kerana semua hendak lihat kita kalah di Johor.
“UMNO lahir di Johor dan mereka hendak kuburkan parti ini di negeri lahirnya UMNO makanya tanggungjawab kita wajib untuk kita bangkit dan bangun demi mempertahankan parti ini,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib